KLCG optimis siapkan Kelarai dalam tempoh 48 bulan

7 hours ago 9

KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju, KL City Gateway Sdn. Bhd. (KLCG) yang terlibat dengan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kampung Baru komited untuk menyiapkan segera rumah gantian kepada penduduk yang terjejas sebelum ini.

Pengarah KLGC, Abdul Hadi Ahmad berkata, langkah berkenaan bagi memastikan penduduk yang terlibat projek itu dapat kembali semula ke kawasan ‘asal’ mereka dengan semua fasiliti dan kemudahan yang lebih selesa.

Jelas beliau, projek pembangunan semula tersebut djjadualkan bermula seawal Ogos ini selepas kerja-kerja pengalihan beberapa kemudahan milik syarikat ultiliti selesai.

“Kita komited untuk menyiapkan projek ini dalam tempoh 48 bulan dan iaitu menjelang tahun 2030. Kerja-kerja awalan tanah telah bermula, namun kita perlu alihkan dahulu beberapa paip milik Syabas (Air Selangor) sebelum kerja-kerja menanam cerucuk dijalankan.

“Paling awal kita dapat mulakan pembangunan projek ini Ogos atau September depan. Namun keutamaan kita pastinya kepada unit rumah gantian kepada penduduk iaiitu kondominium yang kita namakan sebagai Kelarai,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Cabutan Undi Rumah Gantian bagi prpjek pembangunan semula Kampung Sungai Baru semalam.

Pada majlis tersebut seramai 237 orang penduduk yang layak telah melakukan cabutan undi bagi memilih unit kediaman mereka yang dibahagikan kepada dua jenis rumah berkeluasan antara 969 hingga 1,200 kaki persegi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Kelarai dibina dengan kemudahan bertaraf lima bintang termasuk sauna, ‘steam bath’, dan jacuzzi.

Selain itu katanya, ia mempunyai akses ke Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) serta sambungan pejalan kaki terus ke Pintasan Saloma (Saloma Link) dan stesen LRT berhampiran.

“Projek Kelarai menyediakan 580 unit keseluruhan dengan sebahagiannya diperuntukkan sebagai rumah ganti kepada penduduk asal manakala kira-kira 250 unit lagi akan dibuka untuk jualan awam.

“Tetapi keutamaan kita adalah untuk generasi kedua Kampung Sungai Baru. Harga jualan bermula sekitar RM850 sekaki persegi, menjadikan nilai seunit melebihi RM800,000 dan berpotensi meningkat apabila projek siap kelak,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus berkata, pelaksanaan cabutan undi tersebut bukan hanya proses pentadbiran malah menjadi simbol kemajuan sebenar projek yang telah lama dinantikan penduduk.

“Proses cabutan undi yang diadakan secara terbuka itu melibatkan pemilihan unit kondominium moden yang dilengkapi pelbagai kemudahan bertaraf lima bintang, sekali gus memberi keyakinan kepada pemilik bahawa setiap keputusan dibuat berdasarkan prinsip keadilan dan ketelusan,” katanya -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |