KL sesak luar biasa, dari 30 minit jadi 2 jam

2 weeks ago 24

KUALA LUMPUR – Ibu negara hari ini berdepan kesesakan lalu lintas luar biasa apabila beberapa laluan utama dilaporkan sesak teruk sejak awal pagi sehingga sekarang.

Tinjauan mendapati aliran trafik perlahan di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke pusat bandar, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban, Jalan Tun Razak, Jalan Ampang serta beberapa laluan di sekitar Bangsar dan Damansara.

Rata-rata pengguna jalan raya meluahkan rasa kecewa apabila perjalanan yang kebiasaannya mengambil masa 30 minit bertukar menjadi lebih satu jam berikutan pertambahan jumlah kenderaan dan beberapa insiden kecil kemalangan.

Seorang pengguna Facebook, Faiz berkata, dia tiba lewat hampir 30 minit ke tempat kerja gara-gara terperangkap dalam kesesakan di Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (Duke).

“Selalu dari Setapak ke Kota Damansara dalam 30 minit, hari ini lebih sejam hadap sesak. Lain macam betul sesak di KL (Kuala Lumpur),” katanya.

Pada masa sama, ada juga pengguna dari Bangi menuju ke pusat bandar terpaksa menempuh perjalanan hampir dua jam ekoran trafik tinggi selepas Plaza Tol Sungai Besi.

Berdasarkan kemas kini status trafik semua lebuh raya bertol oleh Lembaga Lebuhraya (LLM) setakat pukul 11.24 pagi tadi, aliran trafik secara keseluruhannya dilihat mulai terkawal, namun masih terdapat pergerakan perlahan di beberapa lokasi utama khususnya melibatkan laluan masuk ke pusat bandar.

Di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, trafik bergerak perlahan dari Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar selain di Jasin ke Ayer Keroh serta Simpang Renggam ke Machap. Arah selatan pula sesak dari Sedenak ke Kulai dan Dato’ Onn ke Persimpangan Pasir Gudang.

Sementara itu, di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah utara, kesesakan dikesan dari Setia Alam ke Shah Alam serta Subang ke Damansara.

Turut mengalami aliran perlahan ialah Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) melibatkan laluan Plaza Tol Kota Kemuning ke Hicom dan Seafield ke Kewajipan (arah timur) selain Kinrara ke susur masuk Puchong Jaya (arah barat).

Di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) trafik perlahan arah utara dari Putrajaya ke Shah Alam, manakala di Lebuh Raya Cheras Kajang (Grand Saga) melibatkan laluan Bandar Tun Hussein Onn ke Taman Connaught.

Selain itu, kesesakan turut dikesan di Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dari Bandar Tasik Selatan ke Persimpangan Kuchai serta dari Persimpangan Kuchai dan Plaza Tol Loke Yew ke susur keluar Jalan Istana.

Di Lebuh Rata Baru Pantai (NPE), trafik perlahan dari Pantai Dalam ke Lembah Pantai, manakala Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) menyaksikan kesesakan dari Puchong Utama ke Jambatan Kabel serta Jalan Majlis ke SS2 (arah utara) selain Penchala ke SS2 (arah selatan). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |