KKM jangka penurunan kanser serviks menerusi kerjasama awam swasta

8 hours ago 2

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan mengurangkan peratusan kanser serviks di negara ini menerusi memorandum persefahaman (MoU) kerjasama awam swasta yang dilaksanakan bersama Yayasan Rose.

Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, melalui kerjasama itu, Yayasan Rose akan menyediakan kit saringan kendiri HPV secara percuma kepada wanita memerlukan di seluruh negara.

“Dalam tempoh pelaksanaan MoU ini, dianggarkan antara 1,000 hingga 2,000 kit akan diagihkan dalam tempoh setahun secara berkala di klinik kesihatan terpilih.

“Langkah itu diambil bagi memastikan saringan dapat dilakukan dengan mudah dan meluas tanpa halangan logistik bagi golongan sasar,” katanya ketika pada Majlis Menandatangani MoU Kerjasama Awam Swasta Bagi Program Eliminasi Kanser Serviks di sini tadi.

Katanya, menerusi MoU itu, kedua-dua pihak juga akan meningkatkan kesedaran dan pendidikan kesihatan dengan mempromosikan maklumat mengenai kepentingan saringan HPV kepada masyarakat.

“Kita juga akan meningkatkan kecekapan kapasiti dan profesional kesihatan dengan melibatkan penganjuran bersama latihan dan bengkel kemahiran petugas kesihatan mengendalikan kit saringan serta teknik pengesanan awal.

“KKM dan Yayasan Rose akan melaksanakan pemantauan dan tindakan susulan memastikan wanita mendapat keputusan saringan positif dapat dirujuk segera untuk rawatan lanjut di fasiliti kesihatan,” jelasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai kanser serviks di Malaysia, Lukanisman berkata, statistik terkini menunjukkan kadar insiden kanser serviks di Malaysia telah turun kepada 6.0 kes bagi setiap 100,000 wanita pada 2017-2021.

Jelasnya, jumlah itu berbanding 6.2 kes bagi setiap 100,000 wanita dalam tempoh 2012-2016.

Katanya,kanser serviks juga tidak lagi berada dalam senarai 10 kanser paling kerap di Malaysia, tetapi telah turun ke
tangga ke-11.

“Jadi, kerjasama seperti ini adalah strategi terbaik bagaimana sektor awam dan
swasta boleh berganding bahu dalam menangani isu kesihatan awam.

“Ia bukan sahaja mengurangkan beban sistem kesihatan negara, tetapi memberi peluang kepada lebih ramai wanita untuk mendapat perlindungan dan rawatan yang sewajarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |