KUALA LUMPUR – Waris jenazah yang lewat dikebumikan, baru-baru ini berharap agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dapat melakukan siasatan secara menyeluruh dengan mengambil penjelasan daripada semua pihak.
Datuk Allahyarham Siti Adawiyah, Abd Majid Abdullah, 66, berkata, ia susulan kenyataan tang dikeluarkan pihak JAIS yang didakwa bersifat fitnah.
“Saya harap JAIS membuat semakan dan siasatan dengan betul. Jangan keluarkan kenyataan tanpa bertemu atau mendapatkan penjelasan daripada waris.
“Jangan hanya mendengar sebelah pihak sehingga mengeluarkan kenyataan yang memberi kesan kepada keluarga kami,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Abd Majid berkata, pihak masjid juga perlu memastikan setiap urusan dilaksanakan mengikut prosedur yang betul tanpa menimbulkan kesukaran kepada pihak lain.
“Buatlah dengan cara yang betul. Kita hidup sebagai orang Islam, janganlah menyusahkan orang lain. Laksanakan amanah dengan jujur dan ikhlas,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut meminta orang ramai agar tidak menghukum keluarganya susulan kontroversi pengurusan jenazah cucunya, Allahyarham Siti Adawiyah, 14, yang tular, baru-baru ini.
Menurut Abd Majid, keluarganya telah melalui pelbagai ujian apabila kehilangan anak perempuan dan isterinya sebelum ini, selain kini terpaksa menerima pemergian cucu yang meninggal dunia akibat komplikasi usus.
“Sebelum ini anak perempuan saya meninggal dunia ketika berusia 19 tahun, kemudian setahun selepas itu isteri saya pula meninggal dunia. Kedua-dua jenazah mereka diuruskan oleh Badan Kebajikan Salaturahim.
“Saya pun sudah kurang sihat. Ditambah pula dengan kehilangan cucu yang amat saya sayang sebagai seorang datuk. Ingatlah kita hidup ini tidak bertongkat. Sampai masa nanti, kita semua akan pergi juga,” ujarnya.
Sebelum ini, bapa Allahyarham, Mohamad Hasrul Ghazali tampil menafikan dakwaan kononnya beliau memalsukan tandatangan pada Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam anaknya.
Beliau turut mendakwa urusan pengurusan jenazah sejak awal dikendalikan oleh Badan Kebajikan Salaturahim (BKS), selain memaklumkan keluarganya terpaksa menunggu kira-kira sejam 39 minit sebelum jenazah dapat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
3

















































