Kes bunuh Suri: Polis hampir lengkap siasatan

3 weeks ago 35

SEREMBAN – Polis hampir melengkapkan siasatan kes penemuan mayat dalam beg yang ditanam di belakang sebuah rumah di Batu 4, Pedas, Rembau.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata siasatan kini berada di peringkat akhir dan pihaknya sedang mempercepatkan proses melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri bagi mendapatkan arahan lanjut.

Menurut beliau, beberapa prosedur siasatan masih diteruskan termasuk meneliti ruang-ruang lain yang boleh membantu mengukuhkan kes, walaupun kes itu disifatkan hampir selesai.

“Semalam, suspek telah dibawa ke beberapa lokasi berkaitan rampasan barang, namun tiada barangan dirampas,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau turut memaklumkan tiada tangkapan lain dibuat setakat ini dan proses analisis padanan asid deoksiribonukleik (DNA) dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan sebelum keputusan diperoleh.

“Walaupun identiti mangsa masih menunggu pengesahan DNA, polis cuba meneruskan pendakwaan walaupun statusnya masih ‘unknown’. Keputusan DNA ini penting bagi tujuan pertuduhan dan perjalanan kes disamping mengambil kira hasil siasatan dan keterangan saksi,”katanya.

Setakat ini polis menahan dua lelaki berkait kes itu termasuk suspek utama untuk siasatan.

Suspek pertama berusia 41 tahun ditahan jam 2.30 petang Khamis lalu di Melaka sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin dan dibenarkan direman tujuh hari sehingga 25 Disember ini

Polis kemudian menahan suspek kedua yang juga suspek utama, seorang lelaki berusia 51 tahun di Genting Sempah di Pahang pada Jumaat lalu.

Hakim Mahkamah Majistret Seremban, Majistret Nurul Farha Sulaiman, membenarkan suspek direman tujuh hari sehingga 26 Disember ini untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan mayat wanita yang ditemui di luar kawasan sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau, Khamis lalu disyaki berkait kes orang hilang yang dilaporkan di daerah Ampang, Selangor pada 15 Disember lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad ketika mengesahkan perkara itu berkata hasil pemeriksaan awal mendapati mayat berkenaan ditemui di dalam sebuah beg yang ditanam.

Semalam, Muhammad Idzam turut memaklumkan bahawa hasil soal siasat awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di kediamannya di Ampang sebelum mayatnya ditanam di Rembau.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |