Kerja korekan paip kumbahan diparas dibenarkan, tiada gangguan pada paip gas

1 day ago 6

SUBANG JAYA – Polis mengesahkan kerja-kerja pengorekan untuk paip kumbahan di masih di bawah paras yang dibenarkan iaitu tidak melebihi tiga meter dari paras jalan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati kerja-kerja terbabit hanya pada kedalaman 2.1 meter dari aras jalan raya.

Katanya, kedudukan paip gas terbabit pula berada pada kedalaman 5.6 meter dari aras jalan.

“Maksudnya, jarak antara paip kumbahan dan paip gas adalah 1.6 meter. Keadaaan fizikal paip ini tidak menunjukkan sebarang gangguan yang nyata.

“Kerja-kerja galian ini dilakukan dan dipantau oleh pihak polis bersama Petronas, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, DOSH ( Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan), Tenaga Nasional Berhad, Air Selangor dan pihak kontraktor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar harian di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Putra Heights, di sini hari ini.

Bagaimanapun Hussein berkata, persoalan sama ada kerja-kerja korekan tanah oleh kontraktor ini ada mengganggu laluan paip belum dapat ditentukan buat masa ini.

Jelasnya, keputusan tersebut akan diketahui sehingga keseluruhan saluran paip itu ‘digali semula’ dan disiasat lanjut.

Menurut Hussein, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, pihak polis telah menerima sebanyak 642 laporan polis, sebanyak 118 percakapan saksi telah dirakam melibatkan berbagai pihak termasuk satu laporan polis yang menyatakan ada orang bermain mercun pada malam 31 Mac lalu.

“Kami hanya menerima laporan berkaitan aktiviti main mercun berhampiran kawasan kejadian pada malam tersebut, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia mempunyai kaitan dengan letupan itu. Semua ini masih dalam siasatan.

“Keseluruhan siasatan awal akan dapat didedahkan dalam tempoh dua minggu iaitu paling awal pada 15 April ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |