Kerajaan dapat lanjutan masa sekat RM1.61 bilion dikaitkan dengan 1MDB

13 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Kerajaan berjaya mendapatkan tempoh lanjutan untuk menyekat dana berjumlah AS$340 juta yang dikaitkan dengan skandal kewangan syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada digunakan syarikat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan pengarahnya Tarek Obaid di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Noor Ruwena Mohd. Nurdin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat yang difailkan pada 5 Disember lalu selain memberikan tempoh lanjutan sehingga 23 Mac 2026.

Hakim itu berkata, beliau memutuskan demikian selepas mengambil kira bantahan Tarek (responden) dalam permohonan itu kerana kes berkenaan sudah berlanjutan lama.

“Namun, saya juga mengambil kira kepentingan awam. Mahkamah perlu mencari keseimbangan dan memberi sedikit masa supaya pihak pendakwaan dapat menyelesaikan kes mereka,” kata hakim itu.

Untuk rekod dana berkenaan sedang dituntut oleh kerajaan yang kini disimpan dalam akaun pelanggan di Clyde & Co LLP di United Kingdom bagi pihak PetroSaudi Oil Services (Venezuela) (PSOS-VZ).

PSOS-VZ ialah anak syarikat PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOSL). PSOSL, iaitu unit di bawah PSI, yang diasaskan bersama oleh Tarek.

Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membenarkan perintah sekatan itu pada 11 Disember tahun lalu, di mana tempoh berkenaan berakhir pada 10 Disember lalu.

Pada prosiding hari ini, Mahadi dibantu Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip dan Nurul Izzati Sapifee manakala Tarek diwakili peguam Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, Alex Tan pula mewakili PSI, PSOS-VZ dan Temple Fiduciary Services Ltd manakala Clyde & Co tidak diwakili peguam.

Pada 2020, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah sementara bagi menghalang pihak-pihak daripada memindahkan wang yang dikaitkan dengan 1MDB dan menyimpannya dalam akaun pihak ketiga berkecuali yang dipegang oleh firma itu.

Perintah interim itu adalah untuk mengekalkan status quo pihak-pihak sehingga pelupusan permohonan larangan kerajaan untuk mendapatkan perintah bagi menghalang sebarang urusan ke atas wang milik PSI dan PSOS-VZ.

Kerajaan Malaysia mendakwa wang berkenaan datang daripada dana 1MDB dalam usaha sama dengan PSI untuk menubuhkan 1MDB PetroSaudi Ltd pada 2010.

Permohonan itu difailkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada Ogos 2024, media antarabangsa melaporkan bahawa Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland mensabitkan Obaid dengan kesalahan berhubung penyelewengan USD$1.8 bilion daripada 1MDB dan dia dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |