PETALING JAYA – Syarikat perencah makanan, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) sekali lagi menganjurkan Kempen Kasih Ramadan Adabi sempena kedatangan bulan Ramadan tahun ini.
Menerusi satu kenyataan, Adabi berkata, kempen tersebut merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang merangkumi beberapa aktiviti termasuk pengagihan bubur lambuk di beberapa lokasi terpilih.
Menerusi kempen itu juga, pihak Adabi turut menyediakan hidangan sahur kepada komuniti memerlukan serta program meraikan anak-anak yatim bersama rakan strategik.
“Adabi percaya bahawa Ramadan adalah bulan yang mengangkat nilai kasih, kesyukuran dan kemanusiaan. Komitmen ini akan diterjemahkan melalui tindakan yang inklusif serta menyatukan semua lapisan masyarakat.
“Komitmen Adabi Adabi kekal komited untuk memainkan peranan sebagai jenama Malaysia yang bukan sahaja menyediakan produk berkualiti, tetapi juga menyumbang kepada pembinaan nilai positif, perpaduan serta kesejahteraan masyarakat,”kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Pengurus Promosi dan Media Korporat Adabi, Roshidi Zabidi berkata, sebagai persediaan menjelang pelaksanaan program CSR itu, seramai 20 orang warga kerja Adabi termasuk pempengaruh media sosial, Yatie Kitchen, telah menghadiri sesi tayangan filem ‘The Voice of Hind Rajab’.
Filem tersebut berasaskan kisah benar yang mengangkat tema kemanusiaan dan keamanan sejagat di bumi Palestin yang masih berjuang menuntut kebebasan.
Jelas beliau, inisiatif itu dilihat sebagai sebahagian daripada persediaan dalaman agar warga kerja Adabi lebih memahami erti kasih, kesyukuran dan tanggungjawab sosial, terutama ketika turun ke lapangan membantu masyarakat sepanjang Ramadan nanti.
“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan Adabi terhadap perkembangan isu semasa, di samping usaha berterusan kami untuk menyemai nilai empati serta kemanusiaan sejagat dalam kalangan warga kerja.
“Ia selari dengan prinsip jenama Adabi yang sentiasa menjunjung nilai kasih, keharmonian dan tanggungjawab sosial.
“Bukan sahaja sebagai sebuah syarikat tempatan bumiputera, tetapi juga sebagai
sebahagian daripada komuniti yang prihatin terhadap kesejahteraan sejagat,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

4 hours ago
2

















































