Kemboja minta Thai berunding di Malaysia

15 hours ago 6

PHNOM PENH – Kementerian Pertahanan Kemboja meminta Thailand mengadakan rundingan dua hala di lokasi berkecuali iaitu Kuala Lumpur, demikian menurut surat yang dilihat  AFP hari ini selepas Bangkok dan Phnom Penh bersedia merundingkan syarat gencatan senjata setelah dua minggu pertempuran berdarah berlarutan di sempadan kedua-dua negara.

Pertempuran baharu pada bulan ini membunuh sekurang-kurangnya 23 orang di Thailand dan 21 lagi di Kemboja serta memaksa lebih 900,000 orang berpindah di kedua-dua belah pihak, kata beberapa pegawai.

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow mengumumkan kesediaan berunding  dengan Kemboja selepas menghadiri mesyuarat khas Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara(ASEAN) di ibu kota Malaysia semalam.

Sihasak kemudian memberitahu pemberita bahawa rundingan akan diadakan di Chanthaburi, Thailand esok dalam kerangka jawatankuasa sempadan dua hala sedia ada.

Namun, dalam surat bertarikh semalam kepada rakan sejawatannya dari Thailand, Nattaphon Narkphanit, Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Seiha sebaliknya meminta pertemuan diadakan di Kuala Lumpur.

“Atas sebab keselamatan disebabkan pertempuran berterusan di sempadan, mesyuarat ini harus diadakan di tempat yang selamat dan berkecuali,” tulis Tea Seiha dalam surat  yang diperoleh AFP hari ini.

Malaysia pula selaku  pengerusi blok ASEAN,bersetuju untuk menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata itu di Kuala Lumpur, tambahnya.

Kemboja berkata,  Thailand melancarkan serangan udara di wilayahnya semalam, sejurus selepas Bangkok mengumumkan kedua-dua negara bersetuju untuk mengadakan rundingan gencatan senjata.

Jurucakap kementerian pertahanan Kemboja, Maly Socheata memberitahu pemberita bahawa pertempuran di sepanjang sempadan masih berterusan pagi ini. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |