KUALA LUMPUR – Panel Inkuiri Awam mendapati bahawa kematian mendiang Gan Chin Eng, 61, semasa insiden di Penjara Taiping pada 17 Januari tahun lalu merupakan satu pelanggaran hak asasi manusia yang serius.
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Datuk Seri Mohd. Hishamudin Md Yunus berkata, panel berkenaan turut mengenal pasti beberapa pelanggaran hak asasi manusia yang menyumbang kepada kematian tahanan mahkamah tinggi (TMT) itu.
Menurut beliau, antaranya termasuk unsur kekerasan terhadap mangsa, kelewatan memberikan rawatan, kecuaian dalam rawatan serta kekurangan kemudahan rawatan kecemasan di penjara terbabit.
“Panel Inkuiri Awam mendapati terdapat pelbagai fakta yang boleh disimpulkan bahawa kekerasan melampau telah dilakukan ke atas Chin Eng oleh anggota penjara.
“Walaupun tiada saksi mata atau keterangan langsung berhubung tindakan tersebut, fakta-fakta yang dikemukakan semasa prosiding inkuiri serta bukti mengikut keadaan jelas menunjukkan kecederaan dialami Chin Eng berpunca daripada tindakan kekerasan anggota Penjara Taiping sehingga menyebabkan kematiannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pengumuman Keputusan Inkuiri Awam: Insiden Penjara Taiping, hari ini.
Beliau berkata, panel turut mendapati berlaku kelewatan dalam membawa mangsa mendapatkan rawatan kecemasan meskipun keadaannya dilaporkan semakin kritikal.
Katanya, Chin Eng didapati berada di Pintu Besar Penjara Taiping sekurang-kurangnya 35 minit sebelum dihantar ke Hospital Taiping sedangkan tempoh tindak balas kecemasan sepatutnya sekitar lima minit.
“Panel juga mendapati berlaku kecuaian apabila Chin Eng tidak diberikan rawatan awal kecemasan sewajarnya sebelum dihantar ke hospital.
“Malah, kakitangan perubatan turut didapati meninggalkan mangsa tanpa pemantauan sehingga tahanan lain terpaksa memberikan bantuan pernafasan walaupun tidak mempunyai kemahiran,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, Jabatan Penjara mengesahkan berlaku kejadian provokasi di Penjara Taiping, Perak pada 17 Januari tahun lalu yang menyebabkan seorang banduan meninggal dunia.
Insiden berkenaan membabitkan prospek yang dipindahkan dari Pusat Koreksional Batu Gajah ke Penjara Taiping.
Difahamkan lebih 100 banduan yang majoritinya dipindahkan dari Batu Gajah dipukul sehingga menyebabkan kematian Chin Eng dan kejadian dikatakan berpunca apabila seorang tahanan meminta seorang warder penjara untuk dipindahkan ke tempat lain.
Susulan itu, seorang pegawai penjara yang bertugas di Pusat Koreksional Taiping dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Taiping pada Disember tahun lalu kerana menyebabkan kematian tahanan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
3











![[VIDEO] ZRA sekali lagi ‘hilang’ selepas sampai KLIA 1](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/e6b98aec-af36-422f-8768-c2b15909a3b6.jpeg)




![[VIDEO] GSF 2.0: 28 aktivis Malaysia selamat tiba di KLIA dari Istanbul](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/AKTIVIS-MALAYSIA-GSF-GSF-2.0.jpeg?v=1779636357)






























