Keluarga mendiang fail tuntutan pampasan tanah jerlus

4 hours ago 6

SHAH ALAM – Barisan peguam mewakili keluarga mendiang G. Vijaya Lakshmi akan
memfailkan tuntutan pampasan ke mahkamah selepas tiada sebarang penyelesaian dicapai di luar saluran perundangan.

Dalam kejadian pada 23 Ogos 2024, mangsa berusia 48 tahun dari Kuppam, Andhra Pradesh, India itu terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di kawasan Jalan Masjid India, Kuala Lumpur sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sembilan hari kemudian.

Peguam mewakili keluarga mangsa, M. Partiben berkata, tindakan mahkamah menjadi pilihan terakhir selepas tiada sebarang rundingan atau penyelesaian dicapai antara pihak terlibat.

“Pihak kami tidak mempunyai pilihan selain menggunakan saluran mahkamah untuk menegakkan keadilan dalam kes ini, memandangkan tiada perundingan dan penyelesaian tercapai di luar mahkamah .

” Kami percaya mahkamah adalah forum yang sewajarnya untuk menentukan hak dan liabiliti semua pihak berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang. Pihak kami akan memfailkan tindakan yang sewajarnya dalam masa terdekat, ” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Turut mewakili keluarga mangsa adalah Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan Chew Sin Yee.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sebarang keputusan berkaitan tuntutan pampasan susulan kes sedemikian belum pernah berlaku di Kuala Lumpur sebelum ini.

Kosmo! semalam melaporkan keluarga mangsa tragedi tanah jerlus bercadang menuntut pampasan kira-kira RM800,000 susulan dakwaan berlaku kecuaian dalam aspek penyelenggaraan serta keselamatan kawasan terbabit.

Nilai pampasan itu dirujuk berdasarkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini dalam kes kanak-kanak maut dihempap pokok yang menyaksikan pampasan diberikan akibat kecuaian penyelenggaraan.

Sementara itu, waris mangsa, Surya Madhaiha, 27, telah menerima sijil kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kelmarin bagi melancarkan proses tuntutan pampasan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |