Pelayan bar nafi memandu mabuk hingga ragut nyawa ibu muda

4 hours ago 6

MELAKA – Seorang pelayan bar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang ibu muda berusia 21 tahun, Selasa lalu.

Tertuduh, S. Darshan, 23, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemandu telah memandu di bawah pengaruh alkohol dalam darah dan menyebabkan kemalangan dengan penunggang motosikal.

Kemalangan itu menyebabkan kematian kepada Nur Aleya Natasha Roslan, 21, kira-kira pukul 2.30 pagi di Jalan Ujong Pasir hadapan Kondominium Pasir Mutiara dalam daerah Melaka Tengah pada 5 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda minimum RM50,000 dan maksimum RM100,000.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dan memohon syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM2,200 sebulan dan menanggung bapanya berusia 58 tahun yang mempunyai masalah kesihatan.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandu tertuduh ditahan sehingga prosiding selesai. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Jun depan.

Terdahulu, Kosmo! pada 5 Mei lalu turut melaporkan seorang ibu muda berusia 21 tahun maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai dipandu lelaki mabuk di Jalan Ujong Pasir, di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa, Nur Aleya Natasha Roslan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan kaki. Difahamkam, mangsa mempunyai seorang anak berusia dua tahun.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |