PETALING JAYA – Pelakon Datin Lisa Surihani bakal berangkat ke Tanah Suci, Mekah untuk menunaikan rukun Islam kelima pada musim haji tahun ini.
Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 40, menzahirkan rasa syukur apabila akhirnya dijemput ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji.
“Dengan rendah hati, insya-Allah saya bakal berangkat untuk menunaikan ibaadah rukun Islam yang kelima.
“Perjalanan yang amat bermakna, sementara mengharap dan mendoakan moga dapat laksanakan jihad ini sebaik-baiknya,” katanya dalam Instagram hari ini.
Mahu memastikan kelancaran ibadah yang akan dilakukan, Lisa memohon kemaafan kepada mana-mana pihak yang pernah tersinggung dengan tindakannya sebelum ini.
Dia bahkan bersyukur dengan sikap pemurah segelintir individu yang menghadiahkan barangan kelengkapan haji sekali gus memudahkan urusannya di Tanah Suci.
“Sebelum melangkah pergi, saya dengan tulus ikhlas menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki atas segala kesilapan, tutur kata, atau perbuatan yang mungkin pernah mengguris hati — sama ada sengaja mahupun tidak.
“Hati saya juga diselubungi rasa syukur yang tidak terhingga buat insan-insan mulia yang sangat pemurah memberi pelbagai kelengkapan dan buah tangan bagi memudahkan urusan ibadah saya di sana.
“Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan anda dengan ganjaran yang melimpah-ruah,” katanya lagi.
Dalam masa sama, pelakon filem Legenda Budak Setan itu berharap seluruh keluarganya terutama anak-anaknya dilindungi Allah sepanjang pemergiannya menunaikan ibadah haji.
“Dalam menyahut panggilan suci ini, saya menyerahkan keluarga tersayang sepenuhnya di bawah jagaan dan perlindungan Allah, sebaik-baik Penjaga.
“Semoga Allah mengurniakan ketenangan dan rasa cukup dalam hati kita. Saya sayang dan rindu kalian semua,” ujarnya.
Lisa juga mendoakan segala urusan seluruh jemaah tahun ini mendapat haji yang mabrur dan ketenangan sepanjang melaksanakan ibadah tersebut.
“Bismillah, semoga Allah mengurniakan kepada saya dan seluruh jemaah lain haji yang mabrur.
“Bukan sekadar pulang dengan kelegaan, tetapi juga dengan jiwa yang diperbaharui,” tuturnya.
Namun, Lisa tidak menyatakan sama ada suaminya, Datuk Yusry Abdul Halim turut menunaikan ibadah haji bersamanya atau tidak.
Dalam hantaran berbeza, dia juga memuat naik video memaparkan Yusry bersama tiga anak mereka turut menghantar Lisa ke lokasi berkumpul jemaah haji. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
7















































