‘Kami terpacak depan rumah, tapi dia tidak muncul’

3 hours ago 6

PETALING JAYA – Nasib malang menimpa dua orang pelajar apabila dia mendakwa telah menjadi mangsa penipuan ejen rumah sewa sehingga mengalami kerugian ratusan ringgit baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di media sosial oleh @sisaikly, dia mendakwa bahawa taktik licik suspek yang menggunakan akaun di media sosial palsu untuk menjerat individu yang terdesak mencari tempat penginapan.

“Saya dan kawan saya terdesak nak cari rumah sewa secepat yang boleh dan kami gagal untuk kesan yang ejen ini tipu. Kami ini pertama kali nak sewa rumah, jadinya bila tengok gambar rumah yang cantik, kami terus bayar dan tandatangan kontrak itu.

“Mula-mula dia suruh bayar dahulu deposit (cagaran) RM360, sewa bulan pertama dan bil utiliti. Sebenarnya kami dah pelik tapi husnuzon yang dia dah bahagi untuk 10 orang yang sekali dengan kami tapi dia minta lagi RM100,” katanya.

Tangkap layar hantaran pengguna berkenaan dengan dakwaan dia telah mejadi mangsa penipuan rumah sewa baru-baru ini.

Tambahnya lagi, wang tambahan itu diminta kononnya bagi tujuan semakan kontrak oleh pihak pengurusan dan berjanji untuk memulangkan jumlah wang tersebut sebaik sahaja urusan selesai.

Dalam pada itu, selepas semua urusan bayaran dilakukan, mereka berulang kali meminta untuk meninjau keadaan rumah tersebut namun suspek memberikan pelbagai alasan bagi melengah-lengahkan janji temu mereka.

“Sampai hari yang dijanjikan, kami sudah terpacak di hadapan rumah sejak pukul 3.05 petang pun suspek tetap tidak muncul dan kami turut terjumpa dua lagi individu yang lain untuk urusan yang sama” ujarnya.

Katanya, perkara tersebut akhirnya terbongkar selepas bapa kepada salah seorang mangsa itu bertanya kepada jiran berdekatan yang mengesahkan bahawa rumah itu sebenarnya sudah mempunyai penyewa lain dan suspek bukan pemilik yang sah.

“Lepas tahu, meraung la walaupun setakat rm460 tapi kami ini pelajar jadi itu kira duit makan kami untuk dua bulan dan kami makan maggi untuk berminggu-minggu semata nak bayar ‘scammer’ itu,” katanya lagi.

Susulan kejadian itu, laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu namun peluang untuk mendapatkan semula wang berkenaan dikatakan amat tipis.

Orang ramai terutamanya golongan pelajar dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dan memastikan identiti pemilik sebelum melakukan sebarang transaksi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |