COLOMBO – Polis Sri Lanka menahan 231 rakyat asing, kebanyakan mereka warga China dan Vietnam, berikutan serbuan ke atas tiga pusat penipuan siber di ibu negara, Colombo sejak hujung minggu lalu.
Kumpulan-kumpulan jenayah antarabangsa menjalankan aktiviti penipuan dalam talian yang menyebabkan mangsa rugi berpuluh-puluh bilion dolar setiap tahun, selalunya melalui penipuan mata wang kripto dan hubungan romantik palsu.
Di Sri Lanka, pihak berkuasa menyerbu dua pusat penipuan siber Ahad lepas dan menahan seramai 157 orang.
Tambahan 74 suspek diberkas semalam di lokasi ketiga.
“Mereka memasuki Sri Lanka menggunakan visa pelancong dan bekerja secara haram, manakala sebilangan lagi tinggal melebihi tempoh visa mereka,” kata jurucakap polis Frederick Wootler.
Seorang majistret Colombo mengarahkan pemeriksaan forensik terhadap komputer dan telefon bimbit yang dirampas dari pusat penipuan yang didakwa di kawasan Kollupitiya, Colombo semalam.
Peralatan komputer dan komunikasi yang ditemui pada suspek yang ditahan pada Ahad lepas telah pun dihantar untuk analisis, kata seorang pegawai polis.
Penahanan itu berlaku sebulan selepas 152 warga asing, kebanyakan mereka warga China, ditahan kerana didakwa menjalankan operasi penipuan siber dari sebuah hotel di barat laut pulau itu.
Pihak berkuasa imigresen menahan 135 lelaki dan wanita Cina pada Mac lalu kerana didakwa menjalankan operasi penipuan serupa. Mereka kemudian dihantar pulang.
Kedutaan Beijing di Colombo berkata pada masa itu bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk menghalang warga China daripada terlibat dalam operasi penipuan di Sri Lanka.
Kedutaan China berkata, infrastruktur telekomunikasi Sri Lanka, lokasi geografi dan dasar visa agak longgar menggalakkan kumpulan-kumpulan jenayah penipuan berpindah ke negara Asia Selatan itu.
Pada 2024, pihak berkuasa Sri Lanka menahan 230 warga China dan 200 rakyat India yang dituduh mengendalikan pusat jenayah siber di pelbagai lokasi di Sri Lanka. – AFP

1 hour ago
4















































