MELAKA – Seorang gadis Orang Kurang Upaya (OKU) dilaporkan hilang selepas keluar bermain di taman permainan di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan telah dibuat oleh ibu mangsa berusia 48 tahun selepas gagal mengesan keberadaan anaknya, Nurin Wardina Hairi, 18 yang merupakan OKU pembelajaran.
Katanya, pengadu memberitahu kali terakhir mangsa dilihat adalah pada pukul 3 petang ketika dia keluar rumah untuk bermain di taman permainan di kawasan perumahan mereka.
“Pengadu menyatakan anaknya mempunyai kebolehan bercakap yang minimum dan bertutur seperti kanak-kanak berumur tiga tahun.
“Mangsa dikatakan sering ke taman permainan untuk bermain buaian dan pulang semula ke rumah, namun semalam dia tidak pulang sehingga pukul 5.30 petang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, ahli keluarga telah membuat pencarian dan salah seorang penduduk taman mendakwa ada melihat Nurin menaiki sebuah kereta Perodua Kelisa.
“Sebelum kejadian, pengadu telah keluar untuk menghantar anak keduanya ke tempat kerja dan ada melihat sebuah kereta Kelisa berwarna silver parkir berhampiran rumahnya, namun beranggapan ia milik pengunjung rumah inap desa di sebelah.
“Suami mangsa telah membuat pencarian dengan bantuan penduduk dan salah seorang daripada mereka mendakwa ternampak Nurin menaiki kereta Kelisa Silver berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, Nurin juga dikatakan dilihat menaiki kenderaan tersebut secara rela tanpa berlaku pergerakan seperti dipaksa, sekali gus saksi beranggapan ia dipandu oleh saudara-mara mangsa.
Mengulas lanjut Christopher berkata, pegawai penyiasat telahpun ke lokasi kejadian serta mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pergerakan kereta Kelisa tersebut dan setakat ini kes disiasat sebagai Kes Orang Hilang. – KOSMO! ONLINE