SERDANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meneruskan operasi mengalihkan sisa runtuhan menggunakan jentera pengorek di lokasi kebakaran Pasar Borong Selangor di sini bagi memastikan tiada mangsa terperangkap dalam insiden berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi itu dijalankan susulan penemuan petunjuk yang menunjukkan terdapat individu dipercayai pernah bermalam di dalam premis yang terbakar.
Menurutnya, pemeriksaan awal selepas kebakaran berjaya dikawal menemukan beberapa barangan seperti katil serta kesan aktiviti penghuni di dalam bangunan tersebut.
“Buat masa ini kita masih belum dapat mengesahkan sama ada terdapat mangsa kerana kerja-kerja mengalihkan sisa kebakaran masih dijalankan.
“Proses itu dijangka mengambil masa antara lima hingga lapan jam sebelum pasukan forensik bomba dapat memasuki lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan dengan pemilik premis mendapati semua pekerja mereka telah dikenal pasti dan setakat ini tiada laporan kehilangan diterima.
“Walaupun begitu, operasi mencari diteruskan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap di bawah timbunan runtuhan,” katanya.
Ashrul Riezal berkata, sehingga kira-kira pukul 11.40 pagi, pasukan forensik JBPM dari Selangor dan Putrajaya telah berada di lokasi bagi melakukan penilaian, termasuk mengenal pasti kawasan panas sebelum memberi kebenaran kepada jentera pengorek memulakan kerja.
Mengulas operasi pemadaman, beliau berkata, anggota bomba berdepan beberapa cabaran termasuk kesukaran mendapatkan bekalan air serta kedudukan api yang terlindung di bawah bumbung zink.
“Demi keselamatan anggota, tiada pasukan dibenarkan memasuki bangunan. Sebaliknya, pemadaman dilakukan menggunakan empat Aerial Ladder Platform (ALP) yang membuat pancutan air dari bahagian atas.
“Pada masa sama, tiga pasukan pemadaman digerakkan iaitu dua di bahagian hadapan dan satu di belakang premis bagi menjalankan kerja penyejukan untuk mengelakkan api kembali marak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
7
















![[VIDEO] ‘Ramai lelaki baik mahu bantu, tetapi jangan lamar saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/Untitled-design-2026-07-23T110311.269.png)


![[VIDEO] Lima renjer diserang dari atas pikap ketika pemeriksaan di Narathiwat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/Untitled-design-2026-07-23T105520.528.png)




























