‘Kami berkawan saja, Vida tepati kriteria isteri idaman lelaki’

2 hours ago 3

SHAH ALAM – Penyanyi juga cef selebriti Datuk Fazley Yaakob menafikan dirinya kini menjalin hubungan istimewa dengan usahawan sensasi, Datuk Seri Vida seperti yang tular dalam media sosial.

Fazley, 47, bagaimanapun mengakui Vida mempunyai kriteria calon isteri yang baik,  selain mengagumi cara layanan wanita itu terhadap dua anaknya iaitu Cik B dan Kacak.

“Buat masa sekarang saya hanya boleh menafikan dan kami berkawan tetapi dia memang menepati ciri-ciri seorang isteri yang sempurna.

“Saya mengagumi cara dia menjaga dan melayan anak-anaknya iaitu Cik B serta Kacak, hubungan mereka penuh dengan kasih sayang. Saya juga kagum kelebihan Vida kalau bab agama dan bisnes, ‘tip top’.

“Dia memang menepati ciri-ciri seorang isteri yang sempurna untuk sesiapa saja,” katanya ketika ditemui pada konsert minggu ketujuh, Talk To My Manager 2 (TTMM2), di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Fazley sedar dakwaan percintaan mereka mungkin tercetus gara-gara gurauan anak sulungnya, Fariedz Fazley bersama Cik B yang ingin menyatukan dirinya dengan Vida.

Paling menghiburkan apabila peminat turut mencipta tanda pagar untuk dia bersama usahawan tersebut iaitu #didalavida.

“Apa pun, kami hanya berkawan sama seperti hubungan dengan pengurus lain dalam TTMM2.

“Mengenai kenyataan Cik B sebelum ini, dia beritahu saya semua itu sudah dirancang bersama Fariedz. Mungkin sebab Cik B sudah rasa selesa dengan saya dan begitu juga Fariedz dengan Vida,” jelasnya lagi.

Dia juga menegaskan hubungannya dengan semua pengurus termasuk beberapa yang berstatus ibu tunggal seperti Datuk A. Aida, Adira dan Linda Jasmine terjalin baik sehingga ke hari ini.

“Saya berkawan dengan semua mak-mak di TTMM2 cuma apa yang lucu apabila anak-anak cakap ramai ibu ‘single’, tetapi bapa yang ‘single’ hanya saya sahaja.

“Tapi jujur, saya masih single dan beberapa orang mak-mak dalam TTMM2 juga masih solo.

“Saya tidak menyatakan bahawa bersedia mencari jodoh atau sebaliknya sebab semua itu rahsia Tuhan. Rasa-rasanya perkara saya kongsi dalam Threads sebelum ini seperti mengenai konten mahu calon isteri berwajah ‘Chinese look’ yang akhirnya sekarang makan diri sendiri.

“Namun, saya tidak menolak sesiapa juga menjadi jodoh saya. Kalau dia kulit gelap, tidak putih, anak-anak terima dan pembersih, memang saya okey saja,” jelasnya.

Sebelum ini, Fazley dan Vida didakwa sedang bercinta susulan tular beberapa video memaparkan keakraban mereka selepas menyertai TTMM2.

Cik B juga sebelum ini dalam satu kenyataan turut merestui sekiranya ibunya mempunyai hubungan istimewa dengan Fazley.

Malah, Cik B atau nama lengkapnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 21, yakin Fazley mampu menjadi bapa yang terbaik buat dirinya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |