Kadar kuota tetap diesel bersubsidi SKDS disemak semula – Armizan

5 hours ago 8

PUTRAJAYA – Kadar kuota tetap diesel bersubsidi bagi beberapa jenis kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) akan disemak semula bagi memastikan agihan subsidi itu di selaras mengikut keperluan operasi sebenar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dibuat susulan hasil mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Beliau berkata, Perdana Menteri mengarahkan penambahbaikan dilakukan susulan maklum balas diterima rakyat selain mengambil kira kos sara hidup rakyat, pengurusan risiko ketirisan dan kedudukan dan ruang fiskal negara.

“Penambahan itu dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Ogos ini. Pelarasan kuota diesel di bawah SKDS tidak lagi berdasarkan purata penggunaan mengikut jenis kenderaan, sebaliknya mengambil kira beberapa faktor teknikal,” katanya selepas program turun padang sempena pelaksanaan Budi Diesel di Presint 18, di sini, hari ini.

Katanya, antara faktor yang akan dinilai termasuk berat dengan muatan (BDM), kapasiti enjin, kategori lori, tahap penggunaan bahan api dan pola operasi setiap kenderaan.

Armizan berkata, pihaknya mendapati, ada kenderaan jenis pengangkutan sama, tetapi BDM berbeza dan jika BDM lebih besar dari segi berat, saiz dan muatannya, maka penggunaan bahan api itu akan lebih tinggi.

“Pelarasan kuota itu penting kerana kuota bagi syarikat pengangkutan dikemas kini pada hari terakhir setiap bulan sebelum dikuatkuasakan pada hari pertama bulan berikutnya,” katanya.

Sementara itu, mengulas pelaksanaan SKDS di Sabah, Sarawak dan Labuan, Armizan berkata, beliau mahu semua syarikat yang layak, termasuk 23 kategori pengangkutan barangan dan 10 kategori pengangkutan awam segera mengemukakan permohonan sebelum Selasa ini bagi membolehkan mereka menikmati subsidi serta layak menuntut bayaran balik jika kelulusan masih dalam proses.

“Kerajaan memberi ruang tuntutan bayaran balik, namun syaratnya permohonan SKDS mesti dikemukakan selewat-lewatnya 30 Jun. Mereka yang memohon selepas tarikh itu tidak layak membuat tuntutan bayaran semula,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Armizan berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian jenis jip dan pikap yang layak di bawah Budi Diesel boleh memohon tambahan kuota 100 liter, menjadikan jumlah keseluruhan kuota kepada 300 liter berbanding kuota asas 200 liter.

“Permohonan tambahan kuota boleh dibuat secara dalam talian atau di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di seluruh negara yang bersedia membantu orang ramai melengkapkan permohonan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Armizan berkata, sebanyak 4,146 stesen minyak di seluruh negara bersedia laksanakan Budi Diesel yang akan bermula 1 Julai ini.

“Saya berpuas hati dengan kesiapsiagaan Budi Madani Diesel (Budi Diesel). Hari ini bermula pelaksanaan inisitif itu secara rintis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |