Jeritan api selamatkan penduduk, 8 rumah musnah 100 peratus

2 hours ago 3

KUALA PERLIS – Penduduk di Kampung Seberang Alor, Perkampungan Diraja Kuala Perlis di sini berdepan detik cemas apabila lapan buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, kesemua rumah yang terletak berdekatan terbakar 100 peratus, manakala sebuah motosikal turut dilaporkan rentung.

Rata-rata mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing apabila api merebak dengan pantas sehingga menyebabkan mereka hanya mampu menyelamatkan diri.

Seorang mangsa, Sa’diah Md. Zin, 77, berkata, dia terjaga daripada tidur selepas terdengar jeritan penduduk sebelum mendapati api sudah memasuki rumahnya melalui tingkap dapur.

“Saya dengar ada orang jerit api sebelum saya bangun untuk periksa apa berlaku sebelum cemas melihat api sudah masuk melalui tingkap di bahagian dapur.

“Nasib baik ada cucu datang tidur di rumah, merekalah yang pimpin saya keluar dari rumah. Waktu itu memang tak ingat apa dah, barang pun tidak sempat nak selamatkan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun kini tinggal sehelai sepinggang, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat dalam kejadian tersebut.

Seorang lagi penduduk, Mariza Osman, 49, berkata, dia turut terjaga selepas terdengar bunyi bising dan jeritan orang ramai yang cuba menyelamatkan diri.

“Waktu itu sangat bising dan keadaan kelam-kabut. Saya terus kejut mak dan ayah minta mereka keluar selamatkan diri. Saya hanya sempat ambil kad pengenalan saya dan mak sahaja. Duit simpanan kira-kira RM7,000 pun musnah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd. Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.38 pagi.

“Kita tiba di lokasi kira-kira dua minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan lapan buah rumah kelas B dan sebuah motosikal. Api berjaya dikawal pada pukul 4.40 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah berangkat meninjau lokasi kejadian dan berkenan menyantuni mangsa yang terlibat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |