PETALING JAYA – Seorang guru bertindak tidak adil dengan menolak jawapan tugasan seorang murid tahun satu hanya kerana perbezaan ton warna merah.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh Cikgukamil436 yang memaparkan tangkap layar perbualan aplikasi WhatsApp antara ibu bapa murid berkenaan dengan guru terbabit bagi subjek Sains Tahun 1.
Murid berkenaan dikehendaki mewarnakan merah bagi kategori ‘benda bukan hidup’ dan kuning untuk ‘benda hidup’.
Meskipun murid tersebut berjaya mengelaskan semua objek dengan betul serta menjawab bahagian bertulis tanpa sebarang kesilapan, guru berkenaan tetap memangkah jawapannya dengan alasan warna yang digunakan bukan merah terang.
“Warna merah dia tu lebih kepada merah hati kan. Setahu saya dia seorang yang salah, orang lain semua betul. Dia cakap dia tak ada warna merah terang,” balas guru tersebut.
Kecewa dengan tindakan rigid tersebut, ibu murid berkenaan tampil mempertahankan anaknya dengan menjelaskan bahawa fokus utama subjek Sains adalah untuk menilai pemahaman konsep, bukannya teknikal warna.
“Minta maaf cikgu, saya faham mungkin warnanya agak gelap atau merah hati. Tetapi ini subjek Sains tahun satu dan fokus utamanya adalah pengelasan benda hidup dan bukan hidup. Dari segi pemahaman konsep, anak saya warnakan kumpulan yang betul mengikut arahan soalan.
“Sains menilai kefahaman minda, bukan menilai set pensel warna siapa yang lebih lengkap. Kasihan pada murid yang sudah faham konsep Sains tapi ditolak markah hanya kerana isu ton warna pensel. Mohon cikgu pertimbangkan semula demi motivasi anak saya untuk belajar,” kata ibunya.
Bagaimanapun, guru tersebut tetap mempertahankan tindakannya dengan alasan mahu mendidik murid berkenaan supaya lebih ‘cakna dengan arahan’ dan meminta kertas tersebut dipulangkan semula pada hari Jumaat untuk diperbetulkan.
Menurut ibunya, isu tiada warna merah terang itu merupakan isu teknikal alat tulis dan bukan anaknya tidak memahami arahan yang diberikan.
Ibunya turut meminta agar perkara ini tidak berulang dan pihak sekolah lebih adil dalam menilai kefahaman akademik murid.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna tidak bersetuju dengan sikap tidak bertolak ansur guru tersebut yang dianggap boleh melemahkan minat dan semangat murid untuk belajar.
“Sedangkan budak tak sempat jawab atau kosong pun kita bagi peluang lagi jawab, pulangkan semula kertas. Ini pula warna yang jelas sekali warna merah,” ujar Zafirahahmad.
“Complicated (rumit). Skema jawapan pun rasanya tak macam tu. Ini kan subjek Sains, kalau subjek Seni lain lah cerita dia,” kata Nrsryty pula.
“Kalau dia guna warna ungu pun aku akan tanda betul. Janji murid ni mengelaskan mengikut kumpulan yang sama,” tambah _x_xx_y. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
5









![[VIDEO] ‘Sudahlah bantu, abang polis siap belanja minyak motor’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-17-at-10.39.59-AM.jpeg)




































