Jangan normalisasi, sokong lelaki berpakaian wanita, songsang!

3 weeks ago 17

PETALING JAYA – Golongan lelaki diingatkan agar tidak terpengaruh dengan budaya pemakaian yang bertentangan dengan fitrah dan norma masyarakat.

Peringatan itu diberikan oleh Ahli Akademik, Profesor Madya Dr. Ahmad Sanusi menerusi catatan di Instagram beliau hari ini.

Katanya, trend berpakaian wanita dalam kalangan lelaki semakin menjadi-jadi, terutamanya di media sosial dan majlis-majlis hiburan.

“Heboh di media sosial tentang lelaki yang berpakaian wanita dalam sebuah majlis di ibu negara. Pada hakikatnya, Islam melarang sebarang perbuatan songsang dan luar tabi’i.

“Allah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita begitu juga sebaliknya. Sabda Rasulullah yang bermaksud Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. (hadis yang diriwayatkan al-Bukhari),” katanya.

Beliau turut membuat teguran kepada orang ramai supaya tidak menormalisakan dan meletakkan sokongan terhadap individu yang berubah jantina.

“Andai berpakaian dengan pakaian dengan jantina yang bertentangan dengan jantina asal pun telah dilarang, apatah lagi cubaan menormalisasi dan mengiktiraf dan LGBT yang jelas bertentangan dengan syarak.

“Adalah menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk mencegah tindakan mengiktiraf kemungkaran.

“Ini sesuai dengan sabda Rasulullah yang bermaksud, ‘tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya’ (hadis yang diriwayatkan Abu Daud),” kongsinya.

Semalam, tular di media sosial berbagai fesyen ditampilkan oleh para tetamu ketika menghadiri sebuah acara nyanyian popular di ibu negara sehingga ada yang kurang senang dengan tindakan sekumpulan lelaki menggayakan pakaian wanita. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |