SEKITAR 2008, sepotong nama kedengaran aneh, Lady Gaga debut di persada seni Hollywood dan penulis ketika itu berada di tingkatan 4.
Masih basah di ingatan lagu Just Dance dendangan pemilik nama lengkap Stefani Joanne Angelina Germanotta itu dimainkan di corong radio. Hati kecil berbicara: ‘Sedap lagu ni’ dan sejak itu, terus mengikuti perkembangan karier Gaga.
Kini bakal menginjak usia 33 tahun, tidak pernah malu untuk mengakui penulis masih setia bergelar antara jutaan Little Monsters (peminat Gaga) di seluruh pelosok dunia. Bahkan, sampai dunia ini tamat akan terus kekal mengagumi bakat figura ikonik bernama Lady Gaga.
Selepas 17 tahun, Gaga meluncurkan album studio ketujuhnya berjudul MAYHEM baru-baru ini.
Naskhah tersebut terus membuktikan kendati waktu bergulir dan hampir 20 tahun menyarung jersey popstar, Gaga tetap menghidangkan apa yang sepatutnya dihidangkan–muzik enak didengar dan pada masa sama nostalgia yang kian membelenggu.
‘Bullseye’, dirasuk legenda
Memuatkan 14 trek dimulai dengan trek pertama berjudul Disease, MAYHEM ternyata bukan sebuah diskografi dark pop seperti diuar-uarkan peminat mahupun Gaga sendiri.

MAYHEM terkandung genre atau elemen seperti synth-pop, disko, dance pop dan industrial yang sangat mengena. Umpamanya, bermain dartboard dan anak panah tepat ke sasaran dan berstatus ‘bullseye’.
Diskografi kali ini menyaksikan Gaga bukan sekadar menguatkan status sebagai ratu dance pop, dia juga memberi tribute kepada legenda-legenda terdahulu termasuk Michael Jackson, David Bowie, Prince dan Tina Turner.
‘Sample’ muzik atau elemen nama-nama disebut di perenggan di atas boleh dirasai menerusi trek kelima iaitu Vanish Into You, Killah (feat Gesaffelstein) dan Shadow Of A Man.
Kalaulah Michael, Prince atau Bowie masih hidup pada era sekarang, mereka pasti berbangga dengan apa dibentangkan Gaga dalam MAYHEM. Benar-benar seorang superstar ada akal yang tidak bergantung kepada populariti semata-mata.
‘Hook’ senang tangkap
Boleh dikatakan, kesemua trek yang dimuatkan dalam MAYHEM cermat dan cemerlang dari segi komposisi muzik, produksi bahkan nukilan lirik.
Lagu Garden Of Eden dan Zombieboy misalnya memiliki ‘hook’ yang sangat lazim atau kuat di halwa telinga pendengar.
Kalau penulis jadi Gaga atau sebahagian daripada pasukan, memang mati akal untuk pilih mana satu single akan datang selepas Die With A Smile (duet Bruno Mars), Disease dan Abracadabra.
Tidak dilupakan ada satu trek yang mengingatkan peminat kepada muzik Taylor Swift berjudul How Bad Do You Want Me. Benarlah MAYHEM berdiri pada definisinya bermaksud kekacauan dalam bahasa Melayu.
Diskografi ini membuktikan Gaga boleh buat apa sahaja dikehendaki walaupun orang hanya kenalinya sebagai sebutir bintang berbusana ‘meat dress’ atau pengikut syaitan atau Illuminati.
Kematangan muzik pemenang 14 trofi Grammy jelas dalam MAYHEM dan karya kali ini merupakan antara pendahulu calon Album Terbaik acara berprestij edisi akan datang. Markah buat MAYHEM andai ia bingkisan kertas peperiksaan adalah 90/100. Calon AOTY!
Album: MAYHEM Artis: Lady Gaga Sumber: Interscope, Universal Music Group Genre: Pop/R&B Bintang: ★★★★✰