PETALING JAYA – Pemilihan Jawatankuasa Pusat (CCC) DAP kali ini didakwa bakal menyaksikan pertembungan antara kumpulan konservatif DAP dan golongan liberal progresif dalam parti itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa, kumpulan konservatif DAP adalah mereka yang masih berpegang teguh kepada perjuangan asal Malaysia Malaysian.
“Jangan lupa, pertembungan ini bukan biasa-biasa yang sebab kumpulan konservatif yang mahu terus DAP memperjuangkan politik sempit masa pembangkang dulu.
“Tidak boleh menerima sikap pemimpin muda yang sanggup berkompromi politik untuk menjamin tempat dalam kerajaan dan manfaat yang mengalir selepas itu.
“Menarik untuk kita tunggu dan lihat nanti keputusan pemilihan DAP kerana golongan konservatif masih 60 peratus daripada keahlian DAP,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nur Jazlan berkata, Pemilihan CCC DAP kali ini juga menarik untuk diperhatikan ekoran terdapat tuduhan berbau pancing undi dengan insentif kewangan.
Beliau berpandangan, keadaan itu mungkin kerana Pemilihan CCC DAP kali ini dibuat semasa DAP merupakan sebahagian daripada kerajaan.
“Jadi saya rasa mungkin ungkapan “Power Corrupts Absolutely” sudah meresap dalam budaya pemilihan dan parti DAP,” katanya.
Terdahulu, beliau mendakwa, statistik kelahiran kaum Cina di Malaysia semakin rendah membuat kumpulan konservatif dalam DAP memilih permainan “Safety In Numbers”.
Justeru, katanya, untuk sebahagian besar pemimpin dan ahli DAP menggugurkan konsep pembahagian sama rata Malaysia Malaysian kelihatan sukar.
“Apatah lagi dengan demografi kaum Melayu semakin naik, manakala populasi Cina menurun membuatkan DAP tetap kena perjuangkan nasib satu kaum saja.
“Walaupun kulit luar mereka kebelakangan ini seperti cuba pancing golongan muda Melayu yang liberal untuk sertai parti mereka, tapi isi dalam DAP tetap tak berubah macam tahun 1965,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE