Shah Firdaus bukti mampu galas tugas pengganti

3 hours ago 1

HARI cemerlang buat kem berbasikal trek negara pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye apabila memenangi pingat emas dalam acara keirin menerusi Muhammad Shah Firdaus Sahrom awal pagi semalam.

Ia membuktikan Shah berada pada landasan tepat untuk meneruskan legasi dicipta legenda berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam acara keirin selepas beliau mengumumkan persaraannya sebaik berakhir Sukan Olimpik Paris 204.

Pada final di Velodrom Konya itu, Shah yang digelar The Terminator mempamerkan kayuhan cukup bertenaga sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang pada saat-saat akhir menewaskan pelumba Perancis, Sebastien Vigier dan Shinji Nakano dari Jepun.

Pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley menyuarakan rasa bangga atas pencapaian anak didiknya itu yang akhirnya berjaya menamatkan penantian untuk memenangi pingat emas pada kejohanan tersebut.

“Shah memenangi pingat emas acara keirin dan saya sangat bangga dengan pencapaiannya. Penantian sudah berakhir selepas memenangi gangsa dan perak di Piala Negara-Negara sebelum ini.

“Hari yang penuh gemilang buat Malaysia. Pasukan perlu teruskan kerja keras ini kerana masih ada kejayaan yang akan datang selepas ini,” katanya.

Pada perlumbaan penuh mendebarkan itu, Shah dilihat sabar menunggu peluang terbaik untuk melakukan pecutan saat akhir bagi mengetepikan cabaran Vigier yang meraih pingat perak serta pemenang gangsa, Nakano.

Kemenangan itu pastinya menjadi pencapaian cukup bermakna buat Shah memandangkan dia berdepan situasi cukup mencabar pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Nilai, Negeri Sembilan bulan lalu akibat kecederaan lutut.

Meskipun berdepan kecederaan, namun dia masih mampu mempamerkan kayuhan cukup bertenaga apabila meraih pingat perak acara keirin, perak pecut berpasukan serta gangsa pecut individu lelaki.

Read Entire Article
Pertanian | | | |