‘Dia suka main cakap’ – Adira nafi rujuk dengan Datuk Red lepas raya

3 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Tiada berita gembira, penyanyi Adira Suhaimi menepis dakwaan kononnya akan kembali rujuk dengan bekas suami, Datuk Red selepas Aidilfitri ini.

Tampil menjelaskan situasi sebenar, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 32, memberitahu bahawa Datuk Red sememangnya seorang yang suka berseloroh, termasuk ketika sesi siaran langsung dalam media sosial.

“Tiada berita gembira. Kalau ada yang bertanya sudah rujuk ke, sudah kahwin balik ke, dia (Datuk Red) akan jawab sudah.

“Dia memang begitu, suka main cakap. Orang yang mengenali dia pasti tahu perangainya. Jadi, tiada apa-apa berita gembira daripada pihak saya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Enggan terburu-buru mencari pasangan baru, pelantun Pujaan Hati itu mahu menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap anak-anak serta kerjaya seni.

“Ramai yang mendoakan, tapi saya belum sampai ke tahap itu. Anak-anak saya ramai dan mereka sangat memerlukan saya.

“Kalau boleh, saya mahu fokus kepada membesarkan anak-anak dan mencari rezeki untuk mereka.

“Saya lebih selesa begini. Kalau ada jodoh, saya terima. Kalau tiada, saya reda,” ujarnya pada majlis berbuka puasa anjukran Nova Music, 17 Eleven Music dan Future Music Entertainment di Glam Hall, baru-baru ini.

Pada majlis sama, Adira turut melancarkan lagu raya terbaharu, Syawal Rindu duet bersama penyanyi, Black Hanifah.

Lagu ciptaan Rudy Nastia, Aiman Zaidi, Aizad Khan dan Kelana dengan lirik nukilan Aiman Zaidi itu mengisahkan perasaan rindu terhadap keluarga serta kenangan Aidilfitri bersama insan tersayang.

“Saya amat bersyukur dan teruja kerana dapat bekerjasama dengan Black.

“Kami saling memberi inspirasi sepanjang proses rakaman dan mencipta suasana kerja yang sangat serasi.

“Dengan lirik yang menyentuh hati, saya harap pendengar dapat merasai semangat Aidilfitri menerusi lagu ini,” dedahnya.

Lagu Syawal Rindu terbitan Nova Music kini boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube sejak 14 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |