‘Bila saya cuba paparkan realiti, ramai yang hentam’

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Pengarah dan penerbit, Erma Fatima meluahkan rasa pelik apabila karyanya sering menjadi sasaran kecaman sedangkan banyak drama dan filem lain turut menampilkan kisah ajaran sesat.

Malah, pelakon Mak Cun itu juga mengakui sekiranya drama ber­siri Bidaah itu keterlaluan, maka tindakan senarai hitam sudah pasti dikenakan ke atas­nya.

Bagaimanapun, Erma tetap akur dengan teguran Jabatan Kemajuan Is­lam Malaysia (Jakim) yang meminta dua adegan dalam drama Bidaah dipotong selepas me­nim­bulkan kontroversi dalam ka­langan penonton.

“Kalau drama ini terlalu keterlaluan, sudah pasti terus disenarai hitam.

“Tapi setiap kali saya buat, mesti kena! Sedangkan ada banyak drama lain paparkan kisah sama, tapi tak kena kecam seteruk ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, sebagai karyawan seni, dia enggan terikat dengan jalan cerita klise seperti kisah kecurangan dan ‘penyondol’ yang terlalu banyak menghiasi skrin televisyen.

“Sudah banyak drama kecurangan dan skandal. Bila saya cuba paparkan realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat, ramai pula yang menghentam.

“Lebih mengecewakan, ada yang terus menghukum tanpa menonton keseluruhan drama ini,” jelasnya.

Paling penting kata Erma, setiap adegan yang dipaparkan bukan bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak, tetapi sebagai cerminan realiti yang wujud dalam masyarakat.

Pemenang pelbagai anugerah pelakon juga pengarah terbaik itu turut meminta mana-mana pihak yang ingin menegur supaya tampil secara berhemah dan tidak menghentam secara membuta tuli.

ANTARA babak kontroversi drama Bidaah yang mencetuskan kritikan ramai

“Budaya bantai-membantai sesuka hati menjadi satu budaya pada zaman media sosial ini. Tidak kira orang itu berilmu atau tidak. Kadangkala teguran itu mencerminkan diri anda
sendiri. Kalau anda golongan berilmu, tegurlah dengan cara betul.

“Apa yang saya katakan bukan bermakna tindakan saya selama ini betul, saya pun ada buat salah, tapi biarlah dengan cara berhemah,” katanya.

Mengulas mengenai teguran Jakim, Erma berkata keputusan tersebut dibuat selepas pertemuan antara pihak produksi dan Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam yang
menilai keseluruhan kandungan drama tersebut.

“Selepas pihak Jakim meneliti drama ini, mereka meminta dua babak dipotong iaitu adegan Vanidah Imran menyentuh janggut Faizal Hussein menggunakan kaki dan babak Fazlina Ahmad Daud mencium kaki serta me­minum air basuhan.

“Saya bersyukur Jakim memahami intipati sebenar drama ini. Dalam masa sama, saya me­ngaku ada kekhilafan apabila menampilkan babak yang dianggap keterlaluan,” katanya,

Terdahulu, tular dalam media sosial adegan Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul menyentuh janggut Faizal Hussein menggunakan kakinya yang menjadi perdebatan ramai dalam media sosial.

Drama Bidaah mula ditayangkan menerusi platform penstriman Viu Malaysia pada 6 Mac lalu dan diarahkan oleh Pali Yahya dan diterbitkan oleh produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.

Drama bersiri berkenaan ber­kisarkan kehidupan pengamal ajaran sesat, Walid yang telah tersebar di sebuah perkampungan.

Walid dengan beraninya mengaku bahawa dirinya merupakan jelmaan Iman Mahdi kepada para pengikutnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |