Saudara pengarang,
Menjadi kebimbangan kami apabila aktiviti penjualan mercun secara terbuka semakin menjadi-jadi setiap kali tiba musim perayaan.
Peniaga terdiri daripada anak-anak muda tidak kira lelaki atau perempuan masing-masing ligat mempromosikan jualan mercun di media sosial termasuk di status WhatsApp masing-masing.
Lebih membimbangkan kami apabila tiada langsung had umur pelanggan ketika urusan pembelian mercun dilakukan terutama pelanggan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.
Peniaga seolah-olah hanya mahu kaut untung tanpa memikirkan kesan atau natijah yang akan berlaku kepada kanak-kanak sekiranya mereka berdepan dengan sebarang musibah.
Kami berharap pihak berkuasa memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang didapati menjual mercun berbahaya kepada kanak-kanak termasuk ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka bermain mercun.
Mona Lisa
Kuala Lumpur