Gara-gara ayam hutan, penunggang Ducati Panigale maut rempuh tiang elektrik

4 hours ago 1

PEKAN – Gara-gara seekor ayam hutan melintas jalan, nyawa seorang penyelia ladang melayang selepas motosikal jenis Ducati Panigale ditunggangnya terbabas dan bergesel dengan sebuah kereta sebelum merempuh tiang elektrik di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Kampung Simpai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian kira-kira pukul 7.38 malam itu berlaku ketika mangsa Mohamad Razwan Aiykal Rejab, 21, dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Segamat.

“Apabila sampai di tempat kejadian motosikal ditunggang mangsa dipercayai melanggar seekor ayam hutan yang sedang melintas jalan lalu terbabas serta bergesel dengan sebuah kereta jenis Nissan Almera yang berada di hadapan sebelum melanggar tiang elektrik di kiri jalan.

“Akibat kejadian penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan giat dilakukan.

Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan rata dan kering. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |