JERANTUT – Rakyat diminta tidak cepat menyalahkan kerajaan negeri sekiranya terdapat permohonan yang tidak dapat dipenuhi kerana setiap keputusan dibuat selepas mengambil kira kepentingan awam dan keperluan pembangunan negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha memenuhi setiap permohonan rakyat, namun terdapat situasi tertentu yang menyebabkan sesuatu permohonan tidak dapat diluluskan kerana kawasan berkenaan telah diperuntukkan bagi pembangunan kemudahan awam.
Menurutnya, antara pembangunan yang perlu diberi keutamaan termasuk pembinaan sekolah, hospital, klinik kesihatan dan kem tentera yang memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Sebagai kerajaan, ada masa kita tidak dapat menunaikan 100 peratus permohonan rakyat dan ada masa kita kena selesaikan secara berperingkat-peringkat. Yang penting mereka perlu sabar. Sekiranya kita boleh tunaikan permohonan rakyat, kita akan tunaikan.
“Tetapi ada juga perkara-perkara yang tidak dapat kita tunaikan atas sebab-sebab tertentu. Sebagai contohnya, sekiranya ada permohonan tanah kita proses dan bila kita nak luluskan, kawasan tersebut akan dibangunkan untuk buat sekolah, kem askar, hospital ataupun klinik kesihatan.
“Jadi perkara tersebut kerajaan negeri tidak dapat pertimbangkan kerana kita mementingkan kepentingan awam. Dalam keadaan macam ini saya harap pemohon dapat memahami. Jadi jangan marahkan kerajaan ataupun membuat tuduhan yang merasakan kerajaan tidak mengambil berat terhadap nasib mereka sedangkan kita mengambil berat tetapi ada kepentingan lain yang lebih penting, iaitu kepentingan awam,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Skim Tanah Rakyat Generasi Baharu Felda (STRGBF) Kota Gelanggi 1, 2 dan 4 Mukim Pulau Tawar di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sentiasa komited menunaikan hak rakyat termasuk mempercepatkan proses penyerahan suratan hak milik kepada peneroka Felda dan generasi baharu. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
3


















![[VIDEO] ‘Tujuh hari terasa panjang, banyak ruang kosong’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/nancy.jpeg)






























