Jajaran baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao pacu ekonomi sempadan

12 hours ago 4

BUKIT KAYU HITAM – Jajaran baharu menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.

Jalan baharu itu akan mula dibuka kepada semua pengguna jalan raya pada pukul 6 pagi esok, manakala pintu sempadan sedia ada yang menghubungkan Bukit Kayu Hitam ke Danok, Thailand akan ditutup sepenuhnya bermula pukul 12 tengah malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek bersejarah tersebut akan dijadikan asas bagi merancakkan ekonomi di utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand yang memerlukan lebih banyak pembangunan.

“Saya percaya projek baharu ini mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kedua-dua kawasan sempadan negara demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jajaran Jalan Baharu yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan CIQ Sadao di Songkhla, Thailand.

Beliau menyempurnakan majlis itu bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul yang hadir dengan delegasi dari negara jiran tersebut di sini hari ini.

Laluan baharu tersebut dijangka memberi pelbagai manfaat kepada Malaysia dan Thailand termasuk memperkukuh hubungan strategik dua negara melalui kerjasama rentas sempadan yang lebih erat, meningkatkan kesalinghubungan Koridor Ekonomi Utara-Selatan ASEAN, melancarkan perdagangan, logistik dan rantaian bekalan.

Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kecekapan urusan keluar masuk negara serta memperkukuh keselamatan sempadan melalui infrastruktur moden dan kawalan bersepadu.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Thailand kerana bersetuju mengadakan pertemuan di kawasan sempadan berbanding hanya bertemu di ibu negara atau lokasi lain.

“Saya benar-benar menghargai kesediaan beliau untuk turun sendiri ke kawasan yang jauh dan masih kurang membangun bagi melihat keadaan sebenar serta mencari jalan menyumbang kepada kemajuan wilayah ini,” ujarnya.

Kata beliau, Zon Ekonomi Khas Sempadan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negara.

Menurut beliau, inisiatif yang melibatkan negeri-negeri utara Malaysia dan selatan Thailand itu lahir daripada iltizam bersama kepimpinan kedua-dua negara untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi rentas sempadan selepas rundingan yang mengambil masa bertahun-tahun.

“Kita telah mengambil masa bertahun-tahun, malah ada yang berlarutan sehingga beberapa dekad melalui pelbagai rundingan dan mesyuarat. Namun kebanyakan isu tertunggak berjaya kita selesaikan semalam dalam tempoh yang sangat pantas,” jelasnya.

Kata Anwar, Malaysia dan Thailand turut menegaskan semula sasaran meningkatkan perdagangan dua hala kepada AS$30 bilion menjelang 2027 selain bersetuju mempercepat penyelesaian pelbagai isu melibatkan kastam, imigresen, perdagangan dan eksport makanan laut.

“Tiada sebab lori perlu menunggu berjam-jam di pusat pemeriksaan sempadan. Kita mahu proses pelepasan dipercepatkan dan kos dikurangkan supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat serta komuniti perniagaan,” katanya.

Tambahnya, kejayaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang menyaksikan nilai perdagangan kira-kira RM77 bilion membuktikan model kerjasama ekonomi rentas sempadan mampu memberikan impak besar, sekali gus beliau optimis pendekatan sama akan berjaya di sempadan Malaysia-Thailand. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |