Isuzu Hicom sumbang 11 trak buat pelajar TVET

9 hours ago 8

PETALING JAYA – Isuzu Hicom Malaysia Sdn. Bhd. (IHM) menyumbangkan 11 buah trak kepada tujuh institusi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di Pahang dan Terengganu bagi memperkukuh latihan kemahiran pelajar melalui pembelajaran secara praktikal.

Sumbangan yang melibatkan model trak Isuzu ELF dan FORWARD itu diserahkan dalam satu majlis di Pekan, Pahang semalam sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

IHM dalam satu kenyataan berkata, trak-trak berkenaan akan digunakan semula sebagai kenderaan latihan bagi membantu pelajar mendalami aspek kejuruteraan automotif, struktur komponen, penyelenggaraan kenderaan serta latihan pemanduan.

Katanya, inisiatif itu dilihat selari dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan TVET serta melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif IHM, Koshi Yamaguchi berkata, program tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti dan modal insan negara.

Menurutnya, amalan perniagaan yang bertanggungjawab sentiasa menjadi sebahagian daripada operasi syarikat selain usaha menyokong pembangunan bakat berkemahiran tinggi.

“Melalui inisiatif ini, kami sasar untuk menyumbang kepada pembangunan bakat berkemahiran sambil menyokong pertumbuhan industri automotif dan pengangkutan di Malaysia.

“Kami yakin bahawa kenderaan kami akan meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar melalui pendedahan praktikal dan membantu membina keupayaan yang relevan dengan keperluan industri,” katanya.

Antara institusi yang menerima sumbangan tersebut ialah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah dan Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC) di Kuantan.

Turut menerima bantuan ialah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di Dungun, selain GiatMara Pekan, Kolej Komuniti Pekan, Institut Kemahiran Mara Tan Sri Yahya Ahmad dan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU) di Pekan.

Sementara itu, Naib Canselor DHU, Dr. Sharoul Jambari berkata, sumbangan berkenaan akan memberi manfaat besar kepada institusi pengajian tinggi yang terlibat.

Katanya, penggunaan trak tersebut dapat memperkukuh pengalaman pembelajaran secara langsung kepada pelajar serta meningkatkan keberkesanan latihan berasaskan industri.

“Bagi DHU, trak-trak tersebut mengukuhkan lagi penekanan kami terhadap TVET, serta komitmen kolektif kami untuk menyampaikan kursus dan program yang memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |