KUALA LUMPUR – Semua warga Tentera Darat Malaysia (TDM) diminta agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan sebarang isu terpencil yang boleh menjejaskan keharmonian serta keselamatan negara.
Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-31 yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata, situasi keselamatan negara ketika ini masih berada dalam keadaan terkawal dan sebarang kejadian yang berlaku hanya melibatkan kelompok kecil serta tidak mencerminkan keadaan sebenar secara menyeluruh.
“Saya percaya keadaan ini boleh dikawal. Apa yang berlaku mungkin melibatkan orang-orang terpencil, namun kita perlu kekal bersatu dan memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin,” katanya.
Azhan berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Kawalan Kehormat Utama (KKU) di Dataran Wisma Pertahanan di Kementerian Pertahanan (Mindef) di sini, hari ini.
Terdahulu, Azhan dipakaikan pangkat pada majlis pemakaian pangkat yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pelantikan Azhan bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang kini diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang dilaporkan melibatkan beliau.
Pelantikan Azhan juga selaras keputusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) Ke-631 pada 19 November tahun lepas dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 1 Disember lalu.
Menurutnya, pelantikan sebagai Panglima Tentera Darat merupakan satu amanah besar memandangkan Tentera Darat adalah organisasi terbesar dalam ATM.
“Saya akan melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin dengan sokongan semua warga Tentera Darat dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Mengulas hala tuju kepimpinannya, Azhan berkata fokus utama adalah kepada penambahbaikan berterusan selaras dengan pelaksanaan Angkatan Masa Hadapan 2030 yang kini memasuki fasa permulaan.
Beliau menjelaskan, tahun ini merupakan tahun penting bagi merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik khususnya melibatkan kesiapsiagaan, keupayaan serta peranan utama Tentera Darat dalam mempertahankan kedaulatan negara. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
7

















































