PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti beberapa dapatan mesyuarat penyelarasan melibatkan pengurusan etnik Rohingya sebelum ia diselaraskan dengan kementerian serta agensi berkaitan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri bagi memastikan setiap tindakan yang bakal dilaksanakan, termasuk jika melibatkan pendaftaran atau penguatkuasaan agar diselaraskan secara menyeluruh.
Menurut beliau, penelitian itu turut melibatkan penyelarasan dengan Kementerian Luar serta agensi-agensi penguatkuasaan selain pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Perdana Menteri telah mengarahkan supaya pihak KDN meneliti beberapa dapatan daripada mesyuarat tersebut dan diselaraskan dengan kementerian-kementerian berkaitan termasuk Kementerian Luar Negeri dan agensi-agensi penguatkuasaan.
“Ini bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil benar-benar mencapai maksud sekiranya ia berkaitan dengan pendaftaran ataupun perkara-perkara lain yang berkaitan.
“Maka perlu diselaraskan di antara pelbagai agensi termasuk pihak-pihak berkuasa tempatan daripada segi penguatkuasaan,” katanya menerusi sidang akhbar pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Fahmi berkata, mesyuarat penyelarasan itu melibatkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), KDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Pejabat Menteri Besar Selangor.
Katanya, mesyuarat penyelarasan yang berlangsung minggu lalu itu merupakan susulan kepada satu lagi perbincangan yang telah diadakan dua minggu sebelum itu bagi mendapatkan hala tuju berhubung isu berkenaan.
Bagaimanapun, Fahmi berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung pengurusan etnik Rohingya di negara ini.
Jelasnya, siri perbincangan mengenainya masih diteruskan dan tiada sebarang keputusan khusus untuk diumumkan setakat ini.
“Perkara ini masih dalam perbincangan dan belum ada keputusan tertentu untuk diumumkan pada hari ini. Perbincangan itu akan diteruskan dalam masa terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
3


















![[VIDEO] ‘Tujuh hari terasa panjang, banyak ruang kosong’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/nancy.jpeg)






























