KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melapangkan perbicaraan kes lelaki warga Israel Avitan Shalom atas dua pertuduhan berkaitan senjata dan peluru yang ditetapkan sepanjang bulan ini.
Hakim Norina Zainal Abidin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk kes itu ditangguhkan bulan ini berikutan terdapat isu jurubahasa Ibrani yang masih menjadi pertikaian.
Hari ini merupakan kali ketiga kes itu ditangguh.
Semasa prosiding hari ini, peguam Jeffrey Ooi yang mewakili Avitan berkata, pihak pembelaan memohon penangguhan berikutan masalah jurubahasa yang berkemungkinan menimbulkan isu.
“Salah satu isu utama adalah berkaitan jurubahasa yang mungkin akan menimbulkan isu. Sekiranya tiada bantahan daripada pihak pendakwaan, kami memohon agar kes ditunda ke Februari untuk menangani isu tersebut…tiada bantahan daripada pihak pendakwaan,” katanya.
Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam tidak membantah sekiranya perbicaraan ditangguhkan meskipun hari ini pihak pendakwaan bersedia dengan saksi-saksi pada hari ini.
“Demi kepentingan keadilan, kes ini perlu ditangguhkan ke bulan hadapan seperti yang dicadangkan oleh pihak pembelaan,” katanya.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Norina menetapkan 14 Februari ini bagi pengurusan kes itu.
Sebelum ini mahkamah telah menetapkan selama 12 hari bagi perbicaraan kes itu dengan tarikh-tarikh perbicaraan ialah 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23 yang mana kesemua tarikh itu pada bulan Januari 2025.
Seramai 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.
Avitan, 39, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.
Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara pukul 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas.
Sebelum ini, isu bahasa menjadi perdebatan hangat apabila Hakim Norina yang mendengar kes dengan tegas ‘menegur’ tindakan lelaki warga Israel Avitan yang memohon khidmat jurubahasa di saat akhir perbicaraan bermula. – KOSMO! ONLINE