Isteri bukan trofi Piala Dunia, boleh dipertaruhkan

1 hour ago 1

GEORGE TOWN – Kes seorang lelaki yang bertaruh menceraikan isterinya dengan talak tiga sekiranya Argentina kalah kepada Sepanyol pada perlawanan Piala Dunia 2026 Isnin lalu, adalah peringatan keras bahawa talak bukan bahan gurauan, pertaruhan untuk menunjukkan keyakinan atau keberanian seseorang.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, satu lafaz yang mungkin diucapkan hanya dalam beberapa saat berpotensi meruntuhkan sebuah rumah tangga yang dibina selama bertahun-tahun.

Menurutnya, seorang suami seharusnya menjaga lidah dan pasangan yang berdepan dengan lafaz seperti itu tidak menghukum diri sendiri serta perlu segera merujuk kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengesahan.

“Jangan kerana terlalu fanatik kepada pasukan bola sepak, seseorang kehilangan keluarga. Jangan kerana mahu kelihatan berani di hadapan rakan-rakan, seorang suami menghancurkan hati isteri dan anak-anak.

“Jangan main-main dengan talak. Bola sepak mungkin sekadar permainan tetapi talak bukan permainan. Perlu sedar bahawa isteri bukan trofi permainan dan bukan harta taruhan tetapi amanah Allah SWT yang wajib dipelihara maruah, keselamatan dan perasaannya,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.

Mohd. Sukki

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, perkahwinan bukan sekadar hubungan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan tetapi Ia melibatkan maruah, keturunan, nafkah, kasih sayang, pendidikan anak-anak dan kestabilan masyarakat.

“Dalam kes yang diperkatakan, lafaz talak dikaitkan dengan kekalahan pasukan Argentina. Oleh itu, ia merupakan suatu bentuk talak yang digantungkan kepada berlakunya syarat tertentu.

“Penentuan hukum bagi sesuatu kes individu tidak boleh dibuat hanya berdasarkan tangkap layar media sosial atau cerita pihak ketiga tetapi konteks, keadaan suami, kesedaran ketika melafazkan, pihak yang ditujukan dan fakta berkaitan perlu diperiksa secara teliti,”ujarnya.

Mohd. Sukki berkata, talak tiga bukan perkara kecil dan sekiranya disahkan berlaku ia termasuk dalam kategori talak bain kubra dengan suami tidak boleh merujuk semula isterinya dalam tempoh idah sebagaimana talak satu atau talak dua.

“Namun begitu, masyarakat tidak wajar mendahului Mahkamah Syariah dengan membuat keputusan sendiri bahawa pasangan berkenaan telah sah bercerai talak tiga. Hukum umum boleh diterangkan oleh para ilmuwan, tetapi keputusan terhadap sesuatu kes tertentu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |