MELAKA – Birkin International Hotel (Birkin Hotel) telah mencatat kejayaan tertingginya dengan menerima pengiktirafan ASEAN Records Organization atas pencapaiannya sebagai pelaksana sistem alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pertama dan terbesar oleh hotel lima bintang semasa pelancarannya.
Malah ia dinobatkan juga sebagai penerima Asia Records yang menjadikan Birkin Hotel sebagai hotel pertama di Malaysia menerima penganuerahan tertinggi itu.
Pengurus Besarnya, Simon Tan berkata, pencapaian tersebut diiktiraf kerana inisiatif hotel dalam 12 perkara yang merangkumi lima kategori kelestarian dan kejayaan sekali gus membuktikan kepimpinan Birkin Hotel dalam bidang hospitaliti lestari dan juga inovasi operasi.

“Antara 12 sistem ESG yang dilaksanakan adalah membangunkan sistem pembotolan air RO dalaman yang mana ia dapat mengurangkan kebergantungan pada air botol plastik.
“Kami juga melaksanakan sistem penuaian air hujan untuk siraman dan kegunaan utiliti, sistem pengairan pintar berulang guna dan juga terdapatnya loji rawatan kumbahan untuk pengurusan air lestari,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah tersebut di sini hari ini.
Tan menerangkan, bagi kategori tenaga, pihak hotel menyediakan sistem HVAC pintar bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga dan pencahayaan LED dengan sensor gerakan di kawasan sekitar hotel.
Bagi aspek sisa pula, hotel membangunkan sistem kompos untuk digunapakai bagi tanaman yang terdapat di sekitar premis hotel dan juga menyediakan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dan juga perkhidmatan ulang alik, kenderaan mini bus EV ke pusat tumpuan pengunjung di Melaka.
Selain itu, dalam majlis yang sama, Birkin Hotel telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Sekretariat Perdagangan Dalam Negeri dan Industri Perkhidmatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya dan Melaka.
Ini adalah untuk melancarkan lagi projek penyediaan bank makanan oleh Birkin Hotel yang bertujuan untuk menangani isu kekurangan makanan dalam kalangan komuniti tempatan, mangsa banjir atau bencana alam, pelajar institusi pengajian tinggi dan kumpulan yang memerlukan.

Bank makanan ini adalah stok simpanan daripada lebihan makanan dalam majlis yang diadakan oleh pihak hotel tetapi tidak diusik langsung lalu diproses mengikut sistem retort yang dipek dalam saiz 50 gram atau 1 kilogram.
Pek makanan ini boleh disimpan antara enam bulan hingga satu tahun lalu yang akan diagihkan kepada kumpulan yang sasaran yang dicadangkan oleh pihak KPDN.
“Ini adalah projek pertama di Melaka yang dimulakan oleh Birkin Hotel, kami akan menyediakan antara 50 hingga 100 pek setiap bulan,” jelasnya.
Tambah beliau, ini adalah inisiatif pihah hotel yang sentiasa berusaha untuk menetapkan piawaian demi memenuhi tanggungjawab dalam industri hospitaliti ini.
“Pencapaian rekod yang disenaraikan dalam Asia dan ASEAN Records serta pelancaran bank makanan adalah lambang komitmen jangka panjang kami terhadap kelestarian, ia bukan sahaja dalam pengoperasian sedia ada tetapi juga dalam cara kami berinteraksi dan memperkasa komuniti,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

8 hours ago
5









![[VIDEO] ‘Siapa kawan dia, pemalas masak telur kicap je’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/telur-kicap.jpeg)







































