KUALA LUMPUR – Hampir 30 tahun masih kekal berdiri sebagai sebuah band muzik, Padi Reborn menekankan kepentingan berpegang teguh kepada kata pujangga iaitu ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk.
Kugiran popular Indonesia itu yang setia diangggotai Ari sekali gitaris, Fadly (vokal), Yoyo (drum), Rindra (bas), dan Piyu (gitar utama) berkata, perjalanan muzik mereka akan sentiasa ditiup semangat terbabit demi kelangsungan seni bersama.
“Macam jadi artis jemputan untuk konsert Dewa (malam ini) padahal mungkin mereka tak tahu lagu kami. Tapi kami senang hati untuk main muzik di konsert mereka.
“Makin berisi, makin menunduk — ini jadi macam amaran atau peringatan buat Padi. Dalam perjalanan kita berkarya, kadang-kadang kita lupa untuk merendah diri itu memang boleh berlaku.
“Sebab kami datang daripada (jenama) Padi, menjadi rambu (peringatan) buat untuk selalu ‘stay on the ground’ dan lebih tahu diri. Sedar tak sedar dah 29 tahun, kami masih berlima (tambah seorang lagi anggota) kerana takdirnya nama ‘Padi’ yang diberikan Yoyo.
“Akhirnya jadi takdir kami, selalu diingatkan bahawa jadilah seperti seperti padi (tumbuhan bijiran yang menghasilkan beras),” kata Ari kepada Kosmo! Online pada sesi temu bual khas bersama kumpulan terbabit di Unifi Arena semalam.
Ditanya tentang persembahan malam ini menerusi konsert Dewa 19 Cintaku Tertinggal di Malaysia, Padi bakal mendendangkan lapan buah lagu termasuk trek pertama, Ego yang dipetik daripada album terbaharu mereka berjudul 28.
Kata Ari, peluang dapat mengadakan persembahan di Kuala Lumpur bukan datang selalu dan untuk itu, mereka akan melakukan yang terbaik walaupun dibatasi usia yang kini kian bertambah.
“Dulu staminanya lain tapi kami percaya, disebabkan energi daripada peminat — tak kira letih macam mana sekalipun, rasa itu pasti hilang.
“Aura daripada peminat itu macam ‘energy booster’ buat kami mengadakan persembahan. Setiap konsert saya rasa seperti itu. Bahkan, kalau sakit pun, tak tahu energi datang dari mana boleh melunaskan persembahan,” ujarnya.
Malam ini, bertempat di Unifi Arena Padi Reborn akan beraksi sebagai artis jemputan konsert Dewa 19 Cintaku Tertinggal di Malaysia yang turut menyaksikan tiga vokalis Dewa iaitu Ari Lasso, Virzha, Marcello Tahitoe dan Tyo Nugros berkongsi pentas buat kesekian kalinya. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
8









![[VIDEO] Tiba-tiba salam, selit RM50](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/rider-RM50.jpeg)


![[VIDEO] Selamba angkut kabel di tepi jalan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/curi-kabel.jpeg)
































