Individu terlibat sindiket dadah di Kelantan dalam radar polis

1 hour ago 1

KOTA BHARU – Polis sudah mengenal pasti dan memantau beberapa individu yang dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kesemua mereka itu berada dalam pemerhatian pihaknya untuk diambil tindakan termasuk proses siasatan.

Katanya, kebanyakan sindiket itu sudah lama bergiat aktif mengedarkan bahan terlarang melibatkan semua jenis dadah termasuk pil kuda dan syabu.

“Di Kelantan hanya ada sindiket sahaja dan tidak melibatkan kartel dadah. Kartel itu terdiri daripada kumpulan besar yang melibatkan luar negara.

“Buat masa ini, kita tidak dapat mendedahkan latar belakang individu sudah yang dikenal pasti terlibat dengan sindiket berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusof memberitahu, selain itu, pihaknya turut memantau individu yang mempunyai perniagaan besar sehingga mempunyai kemewahan melampau.

Katanya, ia bertujuan mengenal pasti sama ada individu tersebut terlibat dengan sidiket pengedaran dadah atau sebaliknya.

“Hasil tangkapan melibatkan sindiket yang dilakukan, polis berdepan kesukaran untuk mendapatkan maklumat bagi menjejak dalang utama sindiket pengedaran dadah.

“Individu terlibat tidak mengenali mereka yang berada di lapisan atas. Ada suspek yang ditangkap itu hanya mengambil upah sebagai penghantar. Apabila soal siasat dijalankan, kita sukar mendapat maklumat kerana mempunyai banyak lapisan,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, usaha berterusan membanteras sindiket dadah terus dilakukan bagi memastikan pengedaran dadah di negeri ini berjaya dikurangkan.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Yusoff berkata, jumlah rampasan dadah di negeri ini merekodkan penurunan sebanyak sebanyak 56 peratus melibatkan nilai RM28.6 juta bagi 2025 berbanding RM64.83 untuk tempoh yang sama bermula Januari hingga Oktober pada tahun lalu.

“Kelantan berada di kedudukan ketiga tertinggi dalam jumlah kes dan tangkapan satu bukti kecekapan Jabatan Siasatan Jenayah narkotik sebagai benteng hadapan Jihad Dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |