Imam warga Thailand direman, tiga tahun ‘pegang’ budak dalam masjid

3 days ago 15

MELAKA – Seorang imam warga Thailand sebuah masjid di sini direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes noda dan cabul seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun, sejak tiga tahun lalu.

Perintah reman sehingga 29 April itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Uthman Abd. Ghani terhadap suspek yang berusia 28 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Menurut sumber, laporan berhubung kejadian telah dibuat oleh ibu mangsa yang berusia 35 tahun selepas dia dihubungi kanak-kanak terbabit pada 14 April lalu.

Ujarnya, mangsa memaklumkan dia ingin pulang dan tinggal bersama ibunya di Kuala Lumpur selepas tidak tahan menjadi mangsa seksual guru agamanya sejak tiga tahun lalu.

“Kejadian terbongkar apabila mangsa menceritakan menjadi mangsa cabul dan liwat guru agamanya yang juga imam sejak dia berusia 10 tahun sehinggalah dibawa berpindah ke sebuah masjid di Bukit Rambai, Melaka tahun lalu.

“Mangsa mendakwa kejadian pertama berlaku pada waktu malam sekitar bulan Ogos 2022 dalam sebuah kelas akademi al-Quran di Perak ketika mangsa mengikuti pengajian di sana,” katanya.

Jelasnya, bagaimanapun sejak tahun lalu, suspek secara rahsia telah membawa mangsa tinggal bersamanya di masjid di Bukit Rambai kononnya untuk meneruskan pengajian di masjid berkenaan tanpa pengetahuan ibunya.

“Bagaimanapun tiada sebarang pengajian dilakukan sebaliknya suspek hanya tinggal berdua dengan mangsa di dalam sebuah bilik di masjid berkenaan dan suspek juga ditugaskan sebagai imam di masjid sama.

“Sepanjang tempoh itu, mangsa mendakwa sering menjadi mangsa pemuas nafsu songsang suspek dan diugut tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa,” katanya.

Mengulas lanjut sumber memberitahu, selepas mangsa dibawa tinggal bersama ibunya suspek dikatakan sering menghubunginya melalui WhatsApp dan memujuk kanak-kanak itu untuk tinggal bersamanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan laporan kes dan penahanan reman suspek. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |