PETALING JAYA – Di sebalik kegembiraan pertunangan anak perempuan dengan jejaka pilihan, pengarah dan penerbit Erma Fatima menitipkan pesanan agar pasangan itu memelihara batas pergaulan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Ujar Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 58, dia sama sekali tidak membenarkan anak sulungnya, Norain Sofea, untuk keluar berdua-duaan dengan tunangnya yang dikenali sebagai Haziq.
“Bukan mudah untuk jaga seorang anak perempuan, itu yang saya usahakan untuk Ain. Saya tahu mungkin satu penyiksaan juga buat dia apabila terlalu dikawal saya.
“Saya mohon daripada Haziq agar berilah peluang untuk saya rasa dan menikmati hak saya sebagai seorang ibu sehingga ke hari pernikahan.
“Saya masih tak merelakan atau mengizinkan anak saya berdua keluar selagi belum dihalalkan.
“Mama harap Haziq faham. Sekarang ada bisnes bersama-sama mungkin ada laluan untuk bersama tapi tolonglah jaga batasnya,” katanya dalam sebuah video.
Tegasnya lagi, status sebagai tunangan orang sama sekali tidak memberikan kelonggaran buat anaknya untuk hidup bebas, selain menuntut kesedaran daripada kedua-dua belah pihak mengenai batas syariat agama.
“Sehingga hari ini, seusia ini saya masih belum izinkan dia untuk tidur di rumah sesiapa pun mahupun keluar bersama Haziq berdua sahaja.
“Itu mama rasa Haziq tahu, mama minta Haziq dan Ain sedar bahawa pertunangan sebagai syarat dalam adat. Belum lagi menghalalkan hukum.
“Sepenuhnya Ain masih dalam jagaan dan hak saya, saya minta agar Haziq dan Ain juga untuk menjaga batas.
“Bukan bermakna pertunangan ini boleh menghalalkan keluar bersama-sama tanpa batas,” ujarnya.
Bercakap soal hantaran, bintang filem Perempuan Melayu Terakhir itu hanya meminta senaskhah kitab suci al-Quran yang dibaca habis bakal menantunya.
“Kalau ikut hati saya nak minta sebiji banglo berkeluasan 20,000 kaki persegi dan sebiji Bentley untuk maknya.
“Bagi mengikut adat, maka hantaran yang saya minta, saya tahu Haziq sangat mampu hanyalah senaskhah al-Quran yang habis dibaca Haziq.
“Itu sahaja permintaan saya. Saya harap dengan hantaran itu saya percaya Haziq Hafiz al-Quran, dia akan berpegang pada al-Quran dengan satu amanah untuk menjaga anak saya dengan baik,” luahnya.
Dalam pada itu, Erma meluahkan rasa bertuah kerana bakal suami anaknya ialah seorang jejaka yang mempunyai keperibadian tinggi.
“Saya bersyukur kerana saya bakal mendapat seorang menantu yang masya-Allah berbudi bahasa, berakhlak baik dan berilmu agama.
‘Itu adalah hadiah paling besar saya dapat. Sangat beruntung kepada Encik Zul dan Ayu ada anak sangat baik.
“Daripada apa saya lihat, saya percaya Haziq dapat jaga Ain dengan baik, itu dah cukup berharga buat saya,” luahnya lagi.
Sebelum ini, Erma melakukan segala persiapan termasuk hantaran dan dekorasi dihasilkan sendiri sebagai hadiah terakhir buat anak sebelum melangkah ke alam rumah tangga.
Dia juga berkongsi video dalam media sosial mengunjungi sebuah premis bagi membeli kelengkapan hantaran sebelum dilihat tekun menyiapkan sendiri gubahan untuk majlis pertunangan anaknya. – KOSMO! ONLINE

12 hours ago
7
















































