PETALING JAYA – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertinggi susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
HRD Corp dalam satu kenyataan media berkata, tindakan itu diambil berdasarkan penemuan dan syor berkaitan pengurusan ‘levi tidak digunakan’, pemerolehan Menara Ikhlas serta pengurusan pelaburan ekuiti HRD Corp.
Menurut HRD Corp, tindakan tersebut juga merangkumi penemuan terkini berhubung Sistem Teras Baharu (NCS) bernilai RM14 juta yang tertangguh lebih empat tahun selepas tiga kegagalan Ujian Penerimaan Pengguna (UAT)
Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz dalam kenyataan media yang sama berkata, langkah pemulihan dan pengukuhan tadbir urus itu selaras dengan aspirasi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
Menurut beliau, Menteri Sumber Manusia menekankan standard integriti, ketelusan dan akauntabiliti lebih tinggi dalam institusi
tenaga kerja bagi memastikan pengurusan HRD Corp menghasilkan impak positif kepada majikan serta tenaga kerja negara.
“HRD Corp akan melaksanakan siasatan dalaman yang telus dan berintegriti dengan mandat, skop serta terma rujukan yang jelas. Proses ini merangkumi semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat dan jejak audit berkaitan.
“Selain pengambilan keterangan serta pengesahan fakta daripada pegawai terlibat, tertakluk kepada prinsip keadilan asasi dan keperluan kerahsiaan siasatan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, HRD Corp memaklumkan, dalam minggu pertama pelantikan Ketua Eksekutif baharu, HRD Corp berjaya memperoleh penyelesaian kira-kira 18 peratus daripada portfolio pelaburan berstruktur tertunggak bersama pulangan RM151.8 juta.
Kata HRD Corp, usaha tersebut membuktikan pemulihan pantas telah dilakukan selain dapat memastikan pelaburan yang dibuat oleh HRD Corp lebih terjamin dan dilindungi.
Menurut HRD Corp, bagi memastikan tadbir urus dan pemantauan yang lebih kukuh, pelaksanaan program latihan yang diluluskan hanya boleh dijalankan selepas tempoh minimum 21 hari hingga tiga bulan daripada tarikh kelulusan.
Jelas HRD Corp, tempoh itu memberi masa yang cukup kepada majikan dan penyedia latihan untuk membuat perancangan rapi termasuk tempahan lokasi, pendaftaran peserta dan penyelarasan logistik.
“Pada masa ini, tiada pemantauan yang sistematik terhadap program latihan yang diluluskan telah melemahkan kawalan dan pengawasan tadbir urus. Terdapat juga kes di mana latihan dilaksanakan sebelum kelulusan diperoleh dengan permohonan geran dikemukakan hanya selepas latihan selesai.
“Bagi menangani isu ini, HRD Corp akan memperkukuh rangka kerja pemantauan dan penguatkuasaan secara berperingkat dengan menempatkan pegawai di lapangan untuk menyelia pelaksanaan latihan,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1

















































