BEKAS penyerang Harimau Malaya, Safee Sali tidak risau jika pemain kebangsaan ‘lemau’ selepas tiada aksi persahabatan antarabangsa diatur buat skuad kebangsaan pada jendela Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mula dibuka hari ini.
Menurut Safee, ketiadaan perlawanan antarabangsa bukanlah isu besar kerana sebahagian besar pemain kebangsaan masih mendapat pendedahan latihan berintensiti tinggi dan mampu memahami tuntutan taktikal yang diterapkan jurulatih.
Bagaimanapun, bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak menafikan aksi persahabatan sememangnya penting sebagai platform terbaik untuk menguji kekuatan pasukan tetapi kem latihan yang tersusun juga mampu memberikan impak positif.
“Ya, perlawanan persahabatan memang bagus untuk persiapan pasukan sebenarnya. Tetapi jika tidak ada perlawanan persahabatan, latihan yang dijalankan saya rasa sudah cukup untuk meningkatkan pemahaman taktikal dan mendapatkan keserasian dalam kalangan pemain.
“Jika tidak ada perlawanan persahabatan sekalipun, apabila pemain dapat berkumpul dalam satu kem latihan, itu juga satu perkara yang baik untuk pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Sebagai rekod, jendela perlawanan antarabangsa dijadual dibuka dari semalam hingga 9 Jun ini dengan setiap pasukan kebangsaan berpeluang mengatur sehingga dua aksi persahabatan antarabangsa sebelum tirai Piala Dunia 2026 dibuka nanti.
Namun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengurusan skuad kebangsaan, Malaysia NT masih ‘sepi’ tanpa sebarang perkembangan melibatkan skuad kendalian Peter Cklamovski itu sehingga kini.
Kali terakhir skuad negara beraksi adalah ketika tewas kepada Vietnam pada aksi kelayakan Piala Asia 2026, Mac lepas tetapi bakal mengharungi jadual padat apabila kempen Piala AFF bermula Julai depan disusuli Piala ASEAN FIFA (September).

4 hours ago
3
















![[VIDEO] Pokok buluh kuning, kelapa gading, ciku kegemaran ‘makhluk halus’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/pkok.jpeg)





























