KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma, telah mengesan isyarat kedudukan telefon bimbit mangsa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, berdasarkan semakan awal, telefon bimbit mangsa menunjukkan isyarat terakhir di sekitar kawasan antara Puchong dan Shah Alam.
“Telefon bimbit mangsa masih lagi berdering tetapi ‘on dan off’. Kedudukan itu mungkin berada di sekitar kawasan Puchong ataupun Shah Alam.
“Kita percaya telefon bimbit itu berada di dalam beg mangsa bukan bersama mangsa yang dihanyutkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya, SAR hari ini melibatkan pencarian intensif sepanjang 20 kilometer meliputi Sungai Klang, dibahagikan kepada empat pasukan dengan setiap pasukan menjalankan pencarian sejauh lima kilometer.
“Setakat ini, kita sudah menelusuri 20 kilometer sehingga ke kawasan tol Kesas, namun masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu,” ujarnya.
Beliau berkata, operasi turut menggerakkan semua aset bomba termasuk bot, kayak serta bantuan dron bagi pemantauan dari udara.
“SAR akan diteruskan sehingga pukul 6.30 petang ini. Operasi akan disambung semula esok pada pukul 8 pagi dengan kekuatan lebih besar termasuk bantuan daripada pelbagai agensi lain,” katanya.
Katanya, Sazalee pada esok juga pihaknya akan menggunakan anjing dari Unit K9 bagi membantu operasi berkenaan.
Jelasnya, setakat ini tiada petunjuk mengenai kenderaan mangsa jenis Mitsubishi Pajero yang turut dilaporkan hilang.
Mengulas mengenai keluarga mangsa, Sazalee berkata, mereka berada dalam keadaan sedih namun tetap berada di lokasi bagi mengikuti perkembangan operasi.
Sementara itu, Komander Operasi Rahmat Kamarulzaman dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, SAR hari ini turut memeriksa laluan keluar masuk air di sepanjang kawasan pencarian mangsa dilapor hilang.
“Bagaimanapun, operasi penyelaman bergantung sepenuhnya kepada keadaan air esok.
“Jika air kembali normal, kita akan turunkan penyelam di lokasi-lokasi ‘hotspot’ yang telah dikenal pasti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
4














![[VIDEO] Terlepas ‘ajal’ sesaat, ramai tertanya apa amalan abang motosikal](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-18-at-9.11.15-PM.jpeg)


































