Gunung Jerai jadi penamat terbaharu LTdL 2026

2 hours ago 3

PUTRAJAYA – Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 bakal menyajikan laluan paling mencabar dalam sejarah penganjurannya apabila buat julung kali menampilkan tiga penamat di puncak bukit sempena sambutan ulang tahun ke-30 perlumbaan berprestij itu.

Perlumbaan berstatus UCI ProSeries yang berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober depan itu merangkumi lapan peringkat perlumbaan tersebut bakal merentasi lapan negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan sejauh 1,258.5 kilometer (km).

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamad Taufiq Johari berkata, edisi kali ini cukup istimewa apabila Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur menyediakan laluan paling sukar pernah ditampilkan menerusi penamat di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

“Sempena ulang tahun ke-30 LTdL, kita mahu memberikan cabaran yang benar-benar menguji kemampuan pelumba. Buat pertama kali, tiga penamat di puncak bukit diperkenalkan dalam satu edisi dan saya percaya ia akan menjadi antara tarikan utama perlumbaan tahun ini.

“Laluan ini bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, malah bakal menjadi strategi setiap pasukan dalam memburu gelaran keseluruhan,” katanya selepas majlis pelancaran laluan LTdL 2026 di sini hari ini.

Tarikan terbesar edisi kali ini ialah pengenalan penamat di Gunung Jerai pada peringkat kedua membabitkan laluan sejauh 145.6km dari Taiping, sekali gus menjadi penamat pertama di lokasi ikonik itu dalam sejarah LTdL.

Pendakian Kategori 1 yang menghampiri ketinggian 1,000 meter dari aras laut dijangka menjadi ujian awal yang mampu memisahkan kelompok pencabar utama gelaran.

Turut kembali mewarnai perlumbaan ialah pendakian berturut-turut ke Cameron Highlands dan Genting Highlands, kombinasi yang sebelum ini hanya diperkenalkan pada edisi 2001 dan 2011.

Lebih mencabar, laluan ke Cameron Highlands kali ini menggunakan pendakian dari Tapah sebelum pelumba mengharungi ‘Queen Stage’ menuju Genting Highlands yang menampilkan pendakian kategori Hors, iaitu kategori pendakian tertinggi dalam perlumbaan berbasikal LTdL.

Dalam perkembangan sama, Taufiq berharap tiga wakil negara iaitu Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling Team (MPC) dan skuad kebangsaan mampu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk melakar keputusan membanggakan.

Menurut beliau, kejayaan pelumba TSG, Nur Aiman Rosli muncul naib juara peringkat ketujuh LTdL edisi sebelum ini menerusi kayuhan ‘breakaway’ membuktikan pelumba tempatan memiliki kemampuan untuk bersaing dengan pelumba bertaraf dunia jika membuat persiapan rapi.

Sebanyak 20 pasukan membabitkan kategori WorldTeam, ProTeam, Continental Team dan pasukan kebangsaan sudah mengesahkan penyertaan, sekali gus menjanjikan saingan sengit sempena ulang tahun ke-30 perlumbaan itu.

Mengulas ketiadaan Petronas sebagai penaja utama, Taufiq berkata, kontrak syarikat berkenaan berakhir selepas edisi lalu dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini sedang memuktamadkan rundingan dengan beberapa syarikat korporat bagi mendapatkan penaja baharu.

“Tahun lalu merupakan tahun terakhir Petronas sebagai penaja utama LTdL. Ketika ini kita sedang berbincang dengan beberapa syarikat korporat dan saya yakin penaja baharu dapat diumumkan dalam masa terdekat.

“Walaupun menggunakan dana sedia ada KBS, kita mahu memastikan LTdL terus dianjurkan pada standard terbaik serta kekal menjadi platform mempromosikan Malaysia dan sukan berbasikal di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM12 juta bagi penganjuran LTdL 2026, lebih rendah berbanding kira-kira RM18 juta pada edisi terdahulu, dengan antara langkah penjimatan dengan tidak lagi memasukkan laluan ke Langkawi berikutan kos logistik yang tinggi.

Menurutnya, LTdL bukan sekadar perlumbaan berbasikal, malah menjadi platform mempromosikan Malaysia menerusi siaran langsung ke pelbagai negara, selain menghidupkan suasana karnival di setiap lokasi yang dilalui.

“Kita mahu menjadikan LTdL sebagai karnival rakyat. Ia bukan sekadar acara sukan, tetapi medium untuk mendekatkan sukan dengan masyarakat sambil memperkenalkan Malaysia kepada dunia,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |