PETALING JAYA – Sektor awam perlu berkembang untuk memenuhi jangkaan rakyat yang semakin meningkat dengan mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu meningkatkan kecekapan, produktiviti dan keterangkuman, sambil memastikan nilai-nilai kemanusiaan kekal menjadi teras transformasi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berkata, masyarakat kini semakin mengharapkan perkhidmatan kerajaan yang setanding dengan pengalaman lancar yang mereka nikmati melalui aplikasi komersial seperti Grab atau Shopee.
“Orang ramai sudah biasa dengan pengalaman klik, beli dan terima serta-merta. Harapan itu kini meluas kepada bagaimana mereka mahu berurusan dengan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Anuar Fariz menjelaskan, transformasi ini memerlukan sektor awam yang lebih adaptif dan dipacu data, yang mampu menjangka keperluan dan bertindak pantas, bukannya terikat dengan rutin birokrasi.
Tambah beliau, AI boleh memainkan peranan penting dengan mengautomasikan tugas-tugas rutin, membolehkan penjawat awam memberi tumpuan kepada AI perkara yang lebih bermakna, menyelesaikan masalah, memberi khidmat kepada rakyat dan menjalankan aktiviti yang lebih produktif serta memerlukan pemikiran kritikal.
“AI memberi kita peluang untuk melonjak ke hadapan, bukan sekadar mengejar tetapi kita perlu pastikan ia memperkasa manusia, bukan menggantikan mereka,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kebergantungan melampau kepada automasi walaupun AI mampu melaksanakan proses yang kompleks, ia tidak seharusnya menggantikan pertimbangan manusia.
“Gunakan AI, tetapi jangan serahkan pemikiran anda kepadanya.
“Kita boleh ajar AI cara memproses dokumen, tetapi tidak bagaimana untuk merasai empati. Itulah yang membezakan kita sebagai manusia,” ujarnya.
Beliau turut menggesa kerjasama yang lebih mendalam antara kerajaan, industri dan akademia untuk menjayakan agenda “AI Nation 2030” Malaysia, dengan menyatakan bahawa transformasi tidak boleh berlaku secara bersendirian.
“Sektor awam mesti menjadi pemangkin, bukan penghalang. Sektor swasta membawa inovasi dan kepantasan, akademia membawa penyelidikan dan ketelitian, manakala kerajaan menyediakan tadbir urus dan kepercayaan. Apabila ketiga-tiganya selari, Malaysia akan maju bersama,” katanya.
Di peringkat dasar, Anuar menyatakan bahawa fokus MDEC kekal pada usaha membina kerajaan digital, mempercepatkan penerapan AI dan memastikan penyertaan inklusif dalam ekonomi.
“Kami sedang melaksanakan pendekatan menyeluruh negara menghimpunkan kementerian, agensi dan sektor swasta untuk merealisasikan visi AI Nation 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lalu,” katanya.
Tambah beliau, masa depan Malaysia bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan, tetapi membentuknya.
“Kita tidak boleh sekadar menaiki kereta api tetapi kita perlu membentuk kereta api itu. Masa depan tidak akan menunggu kita, jadi sebagai rakyat Malaysia, kita mesti ada visi dan iltizam untuk memacunya, demi manfaat bersama, demi anak-anak kita dan generasi akan datang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

13 hours ago
3














![[VIDEO] Terlepas ‘ajal’ sesaat, ramai tertanya apa amalan abang motosikal](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-18-at-9.11.15-PM.jpeg)


































