KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan kerja-kerja perobohan dan perubahan struktur gerai di Jalan 3/48A berhampiran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul di sini yang tular di media sosial bukan bertujuan menamatkan aktiviti penjaja.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, sebaliknya tindakan itu sebahagian daripada proses pembangunan semula kawasan tersebut.
Katanya, projek berkenaan dilaksanakan di bawah program Lestari Niaga yang bertujuan meningkatkan kualiti kemudahan penjaja selain mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih selamat, tersusun dan kondusif.
Menurut beliau, kawasan penjaja itu telah wujud hampir 30 tahun dan menjadi lokasi tumpuan penduduk setempat.
“Berdasarkan rekod DBKL, kawasan ini melibatkan 33 struktur penjaja dengan 20 penjaja dikenal pasti masih aktif menjalankan perniagaan.
“Kerja-kerja perubahan struktur yang sedang dijalankan merupakan langkah perlu bagi membolehkan pembinaan semula kemudahan yang lebih selamat, tersusun dan memenuhi keperluan semua pihak,” katanya pada sidang akhbar di lokasi hari ini.
Fadlun berkata, dakwaan bahawa tindakan tersebut dibuat secara tergesa-gesa adalah tidak tepat kerana perancangan projek telah bermula sejak tahun lalu.
Jelasnya, beberapa siri perbincangan dan sesi libat urus bersama penjaja serta pihak berkepentingan telah diadakan, dengan sesi terakhir berlangsung pada 10 Februari lalu.
“Pada peringkat awal, beberapa pilihan termasuk penempatan di lokasi alternatif telah diteliti.
“Bagaimanapun, selepas mengambil kira pandangan penjaja, faktor lokasi, akses pelanggan dan keperluan komuniti setempat, DBKL memutuskan untuk membangunkan semula kemudahan penjaja di kawasan yang sama,” ujarnya.
Beliau menambah, sebanyak 20 unit gerai baharu akan dibina lengkap dengan kemudahan bekalan air dan elektrik, ruang makan berbumbung, pencahayaan lebih baik, tempat mencuci tangan, kemudahan pengurusan sisa serta penambahbaikan sistem saliran.
Dalam masa sama, katanya, DBKL turut memperkenalkan bantuan khas sebanyak RM1,500 sebulan kepada setiap penjaja yang terlibat sepanjang tempoh pembangunan semula dijalankan.
“Pendekatan biasa sebelum ini adalah menyediakan lokasi sementara kepada penjaja, namun ia melibatkan kos lebih tinggi dan ada lokasi yang kurang strategik serta tidak menerima jumlah pelanggan seperti lokasi asal.
“Justeru, DBKL memilih untuk menyalurkan bantuan kewangan secara terus kepada penjaja dan memastikan mereka dapat kembali berniaga di lokasi yang sama selepas projek siap dalam tempoh tiga bulan,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, DBKL perlu mempertimbangkan pelbagai pandangan dalam menguruskan isu penempatan penjaja termasuk daripada penduduk, peniaga dan pemilik premis perniagaan.
Katanya, tidak semua kehendak pihak berkepentingan dapat dipenuhi sepenuhnya meskipun sesi libat urus telah dilaksanakan.
“DBKL telah mendengar semua pandangan dan mengambil jalan tengah yang dirasakan paling sesuai.
“Selepas siap nanti, Lestari Niaga akan menyediakan persekitaran yang lebih bersih dan tersusun selain menyelesaikan beberapa isu yang sering dibangkitkan penduduk seperti masalah saliran dan kebersihan,” katanya.
Beliau berkata, model bantuan kewangan kepada penjaja yang diperkenalkan buat pertama kali itu juga dilihat lebih berkesan berbanding penyediaan tapak sementara yang berpotensi mewujudkan masalah baharu.
Dalam perkembangan sama, DBKL memaklumkan projek pembangunan semula di UTC Sentul merupakan antara sebahagian daripada inisiatif Lestari Niaga yang akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh Kuala Lumpur.
Program berkenaan melibatkan kira-kira 287 lokasi dengan lebih 11,000 penjaja di seluruh ibu negara dan diperuntukkan bajet keseluruhan sebanyak RM200 juta bagi tahun ini.
Selain UTC Sentul, lokasi lain yang bakal melalui proses pembangunan semula termasuk Jalan Dato Senu dan Pudu Ulu di Bandar Tun Razak. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
4
















































![[VIDEO] Ramai rupanya ‘rider’ jadi mangsa sambung jalan di MRR2](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-20-at-1.47.35-PM.jpeg)