Gaji saya RM30 sahaja sehari – Abang belon

1 day ago 6

PETALING JAYA – “Saya sedang berjalan nak pulang ke rumah selepas berniaga di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur. Tiba-tiba datang dua individu tidak dikenali terus pegang belon”.

Demikian kata ‘Abang belon’ atau nama sebenarnya Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, berhubung kejadian yang menimpanya di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) bulan lalu.

Muhammad Zaimuddin berkata, individu tersebut tidak mengenakan sebarang uniform atau menunjukkan kad kuasa ketika cuba merampas belon daripadanya.

“Waktu itu, saya tak melawan dan saya tak tahu mereka sebenarnya pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya cuma pertahankan belon saya sahaja sebab saya makan komisen. Kalau belon hilang, saya kena ganti. Gaji saya RM30 sahaja sehari,” katanya ketika ditemui peguam Rafique Rashid dan Che’gu Bard di kediamannya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Muhammad Zaimuddin mendakwa, dia kemudian telah dikasari oleh dua individu terbabit kerana enggan memberikan belon sehingga menjadi pergelutan.

“Bila mereka nak ambil belon, saya rentap dan cuba melarikan diri tapi seorang pegang saya dan seorang lagi tolak saya sehingga saya terjatuh atas salah seorang individu terbabit.

“Saya memang tak boleh nak buat apa kerana saya dah sakit (angin pasang). Bila penguat kuasa yang memakai uniform datang baru saya tahu mereka pegawai DBKL,” jelasnya.

Mengulas mengenai teguran daripada DBKL, Muhammad Zaimuddin menafikan menerima sebarang makluman daripada mana-mana penguat kuasa sebelum kejadian berlaku.

“Saya tidak diberitahu apa-apa, mereka tidak ada minta saya beredar atau beri amaran kerana saya berniaga tanpa lesen.

“Mereka hanya datang dan minta saya lepaskan belon. Dia cakap ‘kau lepas, lepas…..’. Saya fikir, kalau saya beri, saya yang kena bayar (ganti rugi), jadi saya rentap sehingga lah jadi pergelutan,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial video memaparkan pergelutan antara seorang peniaga belon dan penguat kuasa DBKL dalam kejadian di Jalan TAR.

DBKL dilaporkan berkata, peniaga belon itu sudah diberi teguran kali ketiga untuk beredar sebelum bertindak agresif dan menolak anggota penguat kuasa DBKL.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dua daripada tiga kertas siasatan berhubung insiden terbabit telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Katanya, kedua-dua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |