LONDON – Pelumba Formula Satu (F1) Britain, Oliver Bearman masih menyimpan impian untuk memandu bersama Ferrari walaupun kini beraksi bersama pasukan Haas.
Sebelum ini, Bearman, 20, mencuri perhatian ketika membuat penampilan sulung F1 bersama Ferrari di Grand Prix (GP) Arab Saudi 2024 apabila menggantikan Carlos Sainz yang menjalani pembedahan akibat apendiks.
Dalam perlumbaan itu, Bearman menempah petak di kedudukan ke-11 sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh sekali gus meraih mata pada penampilan sulungnya bersama pasukan dari Maranello itu.
Prestasi tersebut membuka laluan buatnya mendapatkan tempat sepenuh masa bersama Haas bermula musim lalu, namun Bearman mengakui hubungan dengan Ferrari masih kekal rapat semenjak menyertai akademi pembangunan pasukan itu ketika berlumba dalam Formula 4.
Memandangkan Lewis Hamilton kini berusia 41 tahun dan sering dikaitkan dengan spekulasi persaraan, Bearman dilihat antara calon berpotensi mengisi kerusi pasukan itu di masa depan.
“Sudah tentu itu impian saya. Ferrari memberi kepercayaan kepada saya sejak awal lagi ketika saya masih berlumba dalam Formula 4.
“Mereka melabur banyak dalam pembangunan saya dan impian saya adalah untuk kembali memakai sut merah serta memandu jentera Ferrari suatu hari nanti,” katanya.
Menurut Bearman, pengalaman berlumba bersama Ferrari sebelum ini memberikan gambaran jelas mengenai tahap sokongan yang lebih besar berbanding pasukan kecil.
“Di Ferrari, anda mempunyai lebih ramai kakitangan dan sokongan teknikal. Apabila berpindah ke Haas, strukturnya berbeza dan sebagai pelumba baharu, saya perlu belajar banyak perkara secara langsung di trek.
“Keputusan perlumbaan kadangkala tidak menggambarkan keseluruhan situasi, jadi penting untuk saya menjelaskan cabaran itu kepada Ferrari,” katanya. – AGENSI

11 hours ago
6

















































