KUALA LUMPUR – Bagi memelihara karya milik Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, label rakaman di bawah naungan Universal Music Malaysia menyerahkan royalti berjumlah RM367,305.19 kepada keluarga seniman tersebut.
Menurut Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, penyerahan royalti tersebut bukan sekadar memenuhi tanggungjawab syarikat kepada waris, malah merupakan penghargaan terhadap sumbangan besar Sudirman kepada industri muzik tempatan.
“Sudirman merupakan ikon seni yang telah membentuk landskap muzik Malaysia dan meninggalkan khazanah budaya yang amat bernilai.
“Sebagai pemegang katalog karya beliau, menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan hak royalti terus disalurkan kepada keluarga di samping memelihara serta memperkenalkan semula muzik beliau kepada generasi baharu.
“Kami mahu karya-karya Sudirman terus didengari, dihargai dan kekal relevan merentasi zaman. Legasi beliau bukan sekadar milik industri muzik, tetapi juga sebahagian daripada warisan budaya negara,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis sidang media penghargaan legasi Sudirman di sini, hari ini.
Penyerahan tersebut diserahkan kepada waris Sudirman yang juga merupakan anak saudara Allahyarham iaitu Razman Azrai Zainuddin atau mesra disapa Atai.
Tambah Kim, pihaknya mengambil masa kira-kira dua tahun untuk melakukan audit termasuk perlu mendapatkan persetujuan daripada keluarga Sudirman.
“Hampir dua tahun kami menguruskan semua penyata royalti.
“Hak cipta lagu adalah 100 peratus milik kami sementara bahan-bahan lain seperti rakaman pertandingan atau persembahan siaran langsung adalah milik entiti lain.
“Atai dan keluarganya juga ada memegang hak royalti lain,” katanya lagi.
Dalam pada itu, bagi memastikan karya Sudirman terus kekal relevan, pihaknya juga akan mendigitalkan semua karya Sudirman di bawah labelnya dalam platform penstriman.
“Kami juga akan terus menguruskan katalog muzik beliau termasuk aspek pendigitalan, pemulihan audio, penerbitan semula karya-karya ikonik dan peluang pelesenan bagi memastikan legasi seni beliau terus berkembang dalam era digital.
“Katalog ini juga sebagai usaha memastikan karya Sudirman terus dikenali dan relevan dalam kalangan generasi muda.
“Kami akan memasukkan karya-karya Sudirman dalam pelbagai platform penstriman seperti Spotify, Apple Music dan YouTube, sebab itu memerlukan kontrak baharu,” ujarnya.
Terdahulu, majlis penyerahan royalti berkenaan turut membuktikan EMI Music Malaysia terus berusaha dalam memelihara dan menguruskan katalog muzik Sudirman agar kekal relevan. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
7


![[VIDEO] Pelajar jatuh bangunan: Mangsa minta ke tandas sebelum ditemui maut](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-19-at-9.25.01-PM.jpeg)













































![[VIDEO] Ramai rupanya ‘rider’ jadi mangsa sambung jalan di MRR2](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-20-at-1.47.35-PM.jpeg)